BARU-BARU ini, pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman menyatakan kemelut gaji dihadapi bekas pemain, Allee Putra Azril sudah berada dalam pemerhatian pihaknya.
Pemain yang pernah menyertai akademi bola sepak di Sepanyol itu mendedahkan bahawa tunggakan dialami sehingga tujuh bulan dengan ia merupakan salah satu kes paling buruk sepanjang tahun lalu.
Bagaimanapun, dalam satu penjelasan di akaun TikTok peribadinya, Norizam atau lebih dikenali sebagai Zamsaham itu mengatakan isu tersebut sebagai 'satu kes terpencil'.
Ini kerana satu persetujuan sebelum ini dibuat mengatakan gaji Allee sepatutnya dibayar penaja, Roslan Architect (R2A) yang memeterai perjanjian dengan bapa kepada pemain itu, Azril Mohd Zawawi.
BACA LAGI: Tak tertarik kebangkitan KDN, kesetiaan ultras Kelantan kekal buat TRW
Norizam sekali lagi menjadi perhatian peminat bola sepak tanah air. — Facebook/TRW Kelantan FC
Tetapi, selepas beberapa bulan beraksi di Pantai Timur, pemain itu mengatakan bahawa gajinya tidak dibayar sehingga mendesak Norizam untuk mencari jalan penyelesaian tersendiri.
Ia bagaimanapun menjadi semakin rumit apabila Allee tampil dengan satu kenyataan mengatakan tiada sebarang rundingan dibuat pihak Kelantan FC dengannya secara terus.
"Rundingan berkaitan hal itu sepatutnya berlaku dengan saya, kenapa nak heret dan putar belitkan kesalahan? Tiada sebarang perjanjian dengan saya untuk kurangkan jumlah gaji, tak tahu di mana dia fikir tu.
"Saya yang bermain dan bekerja dengan TRW Kelantan, bukan ayah saya. Jadi apa-apa perbincangan perlu dibuat dengan saya tetapi setakat ini, tiada sebarang komunikasi dibuat.
Allee hanya merekodkan 10 penampilan buat skuad TRW musim lalu. — Facebook/TRW Kelantan FC
"Mereka cuba untuk menghubungi ayah saya tetapi apa yang saya beritahu, saya yang bekerja bukan ayah saya," katanya kepada MakanBola pada Khamis.
Kemelut pengurusan dialami skuad The Red Warriors (TRW) boleh dikatakan cukup serius sehingga menyaksikan mereka dihalang daripada menyertai saingan Liga Super 2024/25.
Hasrat mereka untuk beraksi dalam Liga M3 turut berdepan masalah sebelum ini, namun akhirnya diberikan kebenaran setelah beberapa proses rundingan dibuat.
Allee kini difahamkan sudah kembali ke Sepanyol dan menyertai kelab lamanya, Malaga City FC selepas mengalami kekecewaan bersama skuad TRW.
Untuk rekod, pemain berusia 18 tahun berkenaan merekodkan 10 penampilan dalam kesemua pertandingan buat Kelantan FC musim lalu tanpa sebarang gol dan bantuan jaringan dicatatkan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram