SAMBUTAN Hari Raya Aidilfitri adalah perayaan yang amat dinantikan oleh seluruh umat Islam di negara kita. Setiap kali ia menjelang, kegembiraan pasti akan datang bertandang.
Mana tidaknya, pada waktu inilah seluruh keluarga akan berkumpul bertemu sanak saudara untuk saling mengeratkan silaturahim sambil menikmati pelbagai juadah yang menyelerakan.
Namun begitu, tidak semua cerita indah di hari Aidilfitri. Saban tahun, pasti akan ada cerita duka yang menimpa setiap daripada kita ketika lebaran menjelma.
Bagi pemain bola sepak, duka yang melanda adalah apabila terpaksa menyambut lebaran dengan gaji yang tidak kunjung tiba. Umum mengetahui, banyak kelab di Malaysia mengalami masalah kewangan hinggakan pembayaran gaji tertunggak berlaku dalam kalangan pemain dan pegawai pasukan.
Bagi bekas penjaga gol Kelantan FC, Irfan Haikal, sambutan lebaran kali ini sedikit berbeza buatnya kerana apa yang berlaku kepada dirinya.
BACA LAGI: Lega FIFA benarkan daftar pemain, tiba masanya kepak Kenari penuhkan Darul Aman
Irfan kini mengubah haluan karier dengan menjadi anggota polis. — Instagram/@_irfanhaikal22_
BACA LAGI: Dengar cakap ibu, GK Kelantan tukar karier tinggalkan bola sepak demi bergelar anggota polis
Menurut Irfan, Kelantan masih lagi berhutang dengannya tunggakan gaji selama dua bulan dan jawapan yang diterima olehnya menerusi pemilik kelab iaitu Norizam Tukiman iaitu Zamsaham tetap sama.
"Saya sudah menghubungi Zamsaham sejak daripada bulan September 2023 untuk menuntut pembayaran gaji saya yang tertunggak selama dua bulan tetapi masih tiada hasil.
"Apabila saya menghubunginya untuk mendapatkan jawapan, dia hanya berikan alasan yang sama saja. Saya cuma dapat alasan tetapi wang tak pernah sampai," kata Irfan kepada Majoriti.
Irfan yang kini bergelar anggota polis nyata bersedih kerana tidak dapat menyumbang kepada persiapan keluarganya untuk sambutan Aidilfitri tahun ini.
Namun dia bersyukur kerana pihak keluarganya ada membantu dan tidak jemu untuk memberikan pertolongan setelah apa yang dilalui penjaga gol itu bersama The Red Warriors.
"Mujur ada keluarga yang membantu saya melakukan persiapan Aidilfitri," ujar Irfan.
Khamis lalu, Zamsaham ada mendedahkan yang dia telah memberikan bayaran sejumlah RM1,000 kepada pemain Kelantan sebagai pendahuluan untuk penyelesaian tunggakan tiga bulan gaji.
Namun begitu, tidak kesemua pemain mendapat pembayaran tersebut, salah satu daripada nama yang tercicir adalah pertahanan, Khairul Helmi Johari.
Menurut pemain veteran tersebut, pembayaran itu tidak diberikan kepada semua pemain tetapi terhad kepada 20 orang sahaja.
"(Pembayaran) itu pun 20 orang saja yang dapat. Siapa yang cepat pula tu, disuruh bersyukur pula tu. Saya tak dapat pun," kata Khairul Helmi di media sosialnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram