Kedah terus berbelanja, beri hint rakan senegara Neymar import baharu Hijau Kuning


  • Podium
  • Ahad, 14 Apr 2024

Milos Gordic (kiri) merupakan rekrut terakhir yang dibawa masuk Kedah setakat ini. — Facebook/Kedah

KEDAH Darul Aman (KDA) FC akhirnya mampu menarik nafas lega apabila disahkan boleh mendaftarkan pemain baharu bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2024/2025.

Dalam satu pengumuman di laman Facebook kelab baru-baru ini, mereka sudah menerima surat pengesahan daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) bahawa sekatan perpindahan terbabit sudah ditarik semula.

Selaras dengan perkembangan terbaharu berkenaan, Kedah tanpa membuang masa menyambung semula misi mereka untuk mencari pemain baharu berkualiti bagi sebagai persediaan mengharungi musim mencabar ini.

Terkini, Kedah difahamkan akan membawa masuk seorang pemain import dari Brazil selepas video pengenalan pemain baharu di media sosial rasmi mereka menunjukkan suasana negara Amerika Selatan berkenaan.

Pemain baharu tersebut didakwa merupakan import terakhir Kedah selepas media sosial rasmi mereka meletakkan kapsyen 'bahagian akhir teka-teki kami' yang seolah-olah merujuk tiada lagi pemain akan didaftarkan Hijau Kuning selepas ini.

BACA LAGI: KL City dah selesai, kes FIFA KDA FC apa cerita?

BACA LAGI: Kekalahan Kedah lebih awal dimaafkan atas sebab misteri

Tanpa mendedahkan identiti pemain baharu skuad itu, ramai penyokong pasukan Hijau Kuning memberi jawapan berbeza dengan ada di antara mereka menyebut nama bekas bintang Kedah, Renan Alves.

Bek tengah berusia 31 tahun itu beraksi untuk skuad Sang Kenari selama tiga musim bermula 2019 dengan dia menjadi tonggak ketika pasukan berkenaan menjulang Piala Malaysia.

Selepas membantu Kedah dalam Liga Super dan dua kali dalam kempen Kelayakan Liga Juara-Juara AFC (ACL), Renan berkelana ke bumi Indonesia dengan menyertai Liga 1, Barito Putera.

Sekalipun bukan Renan, pasukan Hijau Kuning pastinya menemui pemain berkualiti dari negara yang sememangnya terkenal melahirkan pemain bertaraf bintang seperti Neymar, Ronaldo dan Vinicius Junior.

Sepanjang jendela perpindahan kali ini, skuad Sang Kenari sudah membawa masuk beberapa pemain tempatan seperti Rizal Ghazali, Syafiq Ahmad, Irfan Zakaria, Zamri Pin Ramli dan Hasbullah Abu Bakar.

Selain itu pasukan kendalian Nafuzi Zain juga turut menyambar khidmat import baharu, termasuk penyerang kelahiran Serbia, Milos Gordic, bekas kapten skuad Sang Penyu, Habib Haroon, Sony Norde dan Sukhrob Nurullaev. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram