SAMA seperti Harimau Malaya yang terkandas di peringkat kumpulan Piala Asia 2023 Qatar, pasukan eRimau Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) juga terkandas di pusingan sama dalam Kejohanan AFC, Piala eAsian 2023 pada Februari lalu.
Perlawanan berkenaan menyaksikan Malaysia menamatkan saingan di tempat keempat Kumpulan E selepas mengumpul satu kemenangan, tiga seri dan dua kalah menentang Bahrain, Korea Selatan dan Jordan.
Perlawanan Malaysia ke Qatar itu diwakili oleh Mohamad Nor Haikal Mohamad Noh (JDT Haikal), Muhamad Khairul Abdul Aziz (Keron) dan Shaharil Shaifuddin Shaharuddin (Ochibikun).
Bercakap mengenai perlawanan yang pertama kali diadakan itu, Haikal Noh mewakili pasukan eRimau tidak menafikan bahawa ketiadaan liga kompetitif untuk komuniti e-sukan berkenaan sedikit sebanyak membezakan pemain tanah air dengan negara lain.
"Semua negara yang layak ke Piala eAsian ada liga sendiri untuk komuniti e-football ini. Perkara itu tak mustahil menyebabkan mereka mempunyai kekuatan tersendiri. Tengok sahaja Indonesia ada liga kompetitif, ada liga utama dan liga kedua.
"Jadi pemain mereka sudah terbiasa dengan tekanan. Lepas itu mereka juga ada import daripada Brazil dan Sepanyol yang memberi banyak persaingan. Kita pula ada kejohanan setiap minggu sahaja. Jadi pemain tidak rasa tahap kompetitif tu.
"Mungkin ada pihak tengah rancang untuk mengadakan liga di Malaysia. Buat seperti MPL (Mobile Legends: Bang Bang Professional League Malaysia) pun okey. Harap semua perlawanan (e-sukan) dipandang. Lagipun e-football dah ada Piala Asia," katanya kepada Majoriti.
BACA LAGI: Yu Zhong antara 5 hero ML yang 'overpower' di permulaan musim 30
Carta kedudukan Kumpulan E pada Kejohanan AFC, Piala eAsian 2023 pada Februari lalu. — FacebookFAM
BACA LAGI: 'Noob' perlu ambil tips Wafi untuk jadi pro-ML
Walaupun tidak kesampaian untuk meneruskan perjuangan ke peringkat 16 kalah mati, pemain eFootball JDT|GBX itu menggangap Piala eAsian 2023 itu memberi pengalaman yang sukar dijual beli di mana-mana.
"Kejohanan Piala Asia E-football kali pertama diadakan. merupakan salah satu kejohanan terbesar untuk saya di peringkat Asia. Jadi bermain di atas pentas besar, ada perasaan gemuruh.
"Kita pula satu kumpulan agak maut. Ada pemain dari juara dunia (Jordan), Korea Selatan dan Bahrain. Kita pun bukan kalah yang dibantai sebab kami ada merekodkan menang, ada seri dan ada kalah," tambahnya.
Selepas ini, Haikal Noh menyertai kelayakan World Esports Championship bermula 15 Mac ini bagi mewakili Johor dan sekiranya layak dia akan ke peringkat akhir yang akan berlangsung di Jepun pada hujung tahun ini.
Untuk rekod, Haikal Noh pernah membuat kejutan apabila menghuni ranking pertama dunia bagi e-football pada Januari 2023 dengan berjaya mengumpul 1,540 mata sambil diikuti rapat pesaingnya dari Brazil, Senegal dan Jepun. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram