PORTFOLIO seorang pemain bola sepak semakin diyakini jika dia mempunyai rekod beraksi dalam di kejohanan antarabangsa ataupun pernah membantu kelab melangkah ke saingan tertinggi.
Jika di Asia, pemain yang pernah membantu kelab untuk beraksi ke saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) ataupun Piala AFC dipercayai mempunyai nilai tambah untuk ditawarkan kepada pasukan baharu.
Namun, bukan semua pemain menerima nasib sama untuk menjadi bintang rebutan kelab lain kerana sehingga kini ada juga bekas tonggak yang masih berstatus ejen bebas walaupun pengalaman mahalnya beraksi di peringkat Asia.
Misalnya, terdapat beberapa pemain Terengganu FC (TFC) dan Sabah FC yang berhasil membawa kelab mereka ke pusingan Piala AFC pada musim 2022 difahamkan masih berstatus ejen bebas dan belum dilamar mana-mana kelab.
Dengan jendela perpindahan sedang berlangsung, bekas pemain dari Terengganu dan Sabah yang masih tidak mempunyai mana-mana majikan pada musim ini wajar menjadi buruan kelab lain.
1) Pape Diakite
Diakite membantu Terengganu mara ke perlawanan akhir Piala FA, muncul sebagai naib juara dalam saingan Liga Super dan melangkah ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia. — Facebook/TFC
Dua musim lalu, Terengganu FC muncul sebagai salah sebuah pasukan terbaik di pentas domestik apabila menamatkan saingan Liga Super di tangga kedua selain melayakkan diri ke pentas akhir Piala FA.
Antara faktor skuad Sang Penyu menjadi pesaing sengit musim 2022 kerana dibarisi import berkualiti seperti pertahanan tengah dari Senegal, Pape Diakite yang dibawa masuk pada awal musim.
Ketinggiannya menjadi satu kelebihan untuk memberi perlindungan buat benteng Terengganu FC kerana Diakite mudah mematahkan serangan serta hantaran daripada pihak lawan.
Dengan khidmatnya tidak lagi ditagih skuad Sang Penyu, Diakite kemudiannya memilih untuk menyertai kelab Vietnam, Hoang Anh Gia Lai (HAGL) pada awal 2023 yang lalu namun sudah ditamatkan November lalu
Status ejen bebas di laman Transfermarkt menjadikan dia pilihan terbaik untuk dibawa masuk oleh pasukan lain terutamanya yang masih belum menemui bek tengah import terbaik.
2) Taiki Kagayama
Taiki (kanan) dikhabarkan kembali ke Liga M selepas dua kelab difahamkan ingin mendapatkan khidmatnya. — MFL
Pemain tengah kelahiran Jepun, Taiki Kagayama yang dibawa masuk Sabah FC pada musim 2022 difahamkan baru sahaja selesai berkelana di kelab Georgia, FC Samgurali selama setahun dan kini berstatus ejen bebas.
Sepanjang membantu The Rhinos dalam saingan domestik sehingga menyaksikan Sabah melangkah ke saingan Piala AFC, Taiki membantu dengan mencipta rekod lima gol dan tiga bantuan gol untuk musim 2022.
Pengalamannya selama semusim di saingan Liga Malaysia dipercayai memberi nilai tambah untuk kelab domestik memburu khidmat Taiki bagi menguatkan bahagian serangan sama ada sebagai pemain tengah menyerang ataupun penyerang sayap.
Meskipun belum ada khabar rasmi namun status pemain berusia 27 tahun itu akan berubah apabila kelab seperti Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) dan Kuala Lumpur (KL) City FC difahamkan sedang berebut untuk mendapatkan khidmatnya.
3) Adib Zainduddin
Adib masih berstatus tanpa kelab sehingga kini. — Facebook/TFC
Kemunculan pertama Muhammad Adib Zainudin bersama Terengganu mendapat liputan meluas kerana skuad Sang Penyu mendapat pujian apabila berjaya mengikat pemain pertahanan Johor Darul Ta'azim ll (JDT ll) sebagai tonggak baharu mereka.
Kelibat mantan kapten skuad bawah 22 tahun (B22) negara itu bagaimanapun semakin lenyap sejak bersama Terengganu dan akhirnya berada dalama senarai 12 orang pemain yang sudah dilepaskan pada musim lepas.
Sepanjang beraksi bersama Terengganu untuk musim 2022, pemain kelahiran Johor berkenaan diturunkan dalam lapan perlawanan domestik dan sedikit sebanyak memberi sumbangan kepada TFC bagi mendapatkan slot.
Khidmat Adib masih wajar dipandang kelab Liga Super lain jika mereka mencari pemain yang mampu memberikan variasi di jentera pertahanan sekali gus dapat memantapkan lagi kubu pasukan dalam misi memburu kedudukan lebih baik. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram