'MFL nak bayaq tiket flight kami ka?', Anak Antoo berang tarikh aksi Sabah-Penang ditukar saat akhir


  • Podium
  • Selasa, 09 Apr 2024

Penang akan bertemu Sabah di Stadium Likas dalam aksi pembukaan Liga Super 2024/2025 pada 12 Mei depan, sehari selepas tarikh asal.

BADAN penganjur liga, Malaysian Football League (MFL) telah mengeluarkan jadual perlawanan bagi saingan Liga Super untuk musim 2024/2025.

Dengan aksi pembukaan akan menyaksikan pertemuan antara Johor Darul Ta’zim berdepan Selangor FC bagi merebut Piala Sultan Haji Ahmad Shah, terdapat juga aksi lain yang menarik perhatian seperti Sri Pahang FC berdepan Kelantan Darul Naim FC.

Satu lagi aksi menarik yang akan diadakan adalah perlawanan melibatkan Sabah FC menentang Penang FC pada 12 Mei.

Aksi yang bakal diadakan di Stadium Likas, Kota Kinabalu itu mempunyai jarak masa selama sebulan sebelum ia dilangsungkan. Namun begitu, kehangatannya sudah dirasai.

BACA LAGI: Sambut Aidilfitri di Selangor, Noor Al-Rawabdeh idam nasi lemak rendang daging di pagi raya

_penang

Sabah akan menjadi tuan rumah kepada Penang pada 12 Mei ini. — Agensi

Kehangatan itu sudah dirasai dalam kalangan penyokong Penang (juga dikenali sebagai Anak Antoo) namun bukannya dalam bentuk positif. Sebaliknya, mereka berang dengan keputusan MFL mengubah jadual perlawanan dengan sesuka hati.

Menurut perkongsian laman Penang Brotherhood, pihak MFL sebenarnya telah menyatakan kepada Penang FC pada 11 Mei tetapi tarikh itu ditukarkan kepada 12 Mei.

Apa yang menyakitkan hati mereka adalah kerana segala persiapan terutamanya tempahan penerbangan ke Borneo telah pun dilakukan baik di peringkat kelab dan penyokong.

“Malaysian Football League dah beritahu awal jadual liga untuk pasukan bertanding buat persiapan. MFL dah bagitau yang Penang FC menentang Sabah FC pada 11 Mei 2024.

“Penang FC dan penyokong dah beli tiket penerbangan pada 11 Mei 2024 dan penerbangan pulang pada 12 Mei 2024. Tapi bila jadual keluar depa tukar perlawanan yang sepatutnya pada 11 Mei diubah kepada 12 Mei,” kata laman penyokong tersebut.

Kemarahan tersebut nyata membara dalam kalangan penyokong Penang kerana mereka menganggap pihak MFL mengamalkan sikap sambil lewa dalam mengatur jadual.

Jelas sekali, mereka berasakan MFL seperti tidak memikirkan penyokong yang akan terbang jauh dari Semenanjung Malaysia ke Borneo demi menyokong kelab kesayangan.

"Malaysian Football League hangpa mmg jenis buat kerja cincai ke? Hangpa keluarkan jadual lambat, hangpa ubah liga sampai kelab struggle, sekarang hangpa menyusah kelab yang bertanding dan peminat pulak. Tiket penerbangan yang kami beli ni hangpa nak bayar ke?," soal mereka kepada MFL.

Selain aksi Sabah bertemu Penang, perlawanan melibatkan Kuala Lumpur City FC dengan Kuching City FC turut diadakan pada hari yang sama. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram