KEPUTUSAN import Kuching City FC, Yuki Tanigawa untuk memeluk Islam tahun lalu membuatkan dirinya lebih dekat dengan penyokong kelab Borneo berkenaan.
Dia yang mewarnai saingan Liga Super sejak 2020 mengambil keputusan itu bagi membolehkannya membina rumahtangga bersama seorang gadis Sarawak yang merupakan pilihan hatinya.
Jadi, dia pasti kekok untuk meraikan sambutan Aidilfirti kerana perayaan tersebut masih baru buatnya, apatah lagi dengan dia membesar di Jepun.
Bagaimanapun, masalah itu mudah untuk dihadapi Yuki memandangkan isterinya banyak memberikan tunjuk ajar tentang agama serta tradisi tempatan mengenai perayaan berkenaan.
BACA LAGI: Taring kembali tajam, Rozaimi mudah catat hatrik buat Sabah
"(Tahun lalu), saya hanya pergi melawat keluarga isteri saya dan saya hanya ikut sahaja dia ke mana-mana. Kini, kami akan mengadakan rumah terbuka dan ajak keluarga serta rakan sepasukan untuk datang ke rumah.
"Sebenarnya, saya tidak tahu bagaimana sambutan di tempat lain kerana ketika saya masih berada di Kelantan, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masih dilaksanakan," katanya kepada MFL.
Selain beraksi untuk skuad The Cats, Yuki juga pernah menyertai Kelantan United FC untuk semusim pada 2021 sebelum kembali menyarung jersi kelab Borneo terbabit.
Kini, dia terus menjadi watak utama buat skaud kendalian Aidil Sharin Sahak itu, termasuk ketika mereka melayakkan diri ke pentas akhir MFL Challenge Cup musim lalu.
BACA LAGI: Pelapis Matlan Marjan sudah dijumpai, ubi muda Sabah diharap ada skil macam legenda The Rhinos
Khidmat Yuki (tengah) pasti akan terus didambakan skuad The Cats musim depan. — Facebook/Kuching City FC
Jelasnya lagi, sambutan Ramadan kali ini juga semakin meriah kerana dia berpelung menjalaninya berbanding tahun lepas yang mana ketika dia baru sahaja memeluk Islam.
"Tahun ini, saya dapat ke bazar untuk beli makanan. Ada pelbagai jenis dan saya sukar untuk pilih. Saya bawa isteri dan hanya kata nak semua ini," katanya.
Selain Yuki, pemain PDRM FC, Bruno Suzuki turut membuat keputusan memeluk Islam selepas bertahun-tahun beraksi dalam Liga Super selain menikmati suasana dalam negara.
Pemain berusia 26 tahun itu dijangka terus memainkan peranan penting buat Kuching City FC musim depan dengan khidmatnya terus ditagih Aidil.
Kelab Borneo berkenaan boleh dikatakan sudah semakin bersedia untuk menghadapi saingan Liga Malaysia 2024/25 setelah membawa masuk nama-nama baharu, seperti Jordan Mintah serta Daniel Amier. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram