KONFLIK bola sepak Turkiye semakin hangat setelah kelab gergasi mereka, Fenerbahce meluahkan hasrat untuk beraksi di luar negara berikutan insiden di atas padang bulan lalu.
Pencerobohan padang ketika kelab itu bertemu Trabzonspor dikatakan punca di sebalik desakan berkenaan dengan pihak pengurusan risau akan keselamatan pemain dan staf kejurulatihan.
Baru-baru ini, isu terbabit semakin rumit ketika perlawanan akhir Piala Supercup Turkiye antara Fenerbahce dan Galatasaray di Stadium Sanliurfa GAP pada Ahad.
Dalam aksi berkenaan, Fenerbahce mengambil keputusan drastik dengan hanya menurunkan pemain belia sebagai tanda protes terhadap badan induk bola sepak negara.
Ini kerana kelab tersebut telah meminta untuk menunda perlawanan tersebut kerana perlu berdepan kempen Liga Europa menentang Olympiakos pada Khamis tetapi ditolak.
Malah mereka menuntut agar penggunaan pengadil luar kerana pengadil tempatan bersikap berat sebelah.
Hal berkenaan tidak terhenti di situ apabila mereka mengambil keputusan meninggalkan padang selepas pemain lawan, Mauro Icardi meletakkan pasukan itu di hadapan.
BACA LAGI: [VIDEO] Kelab Turkiye buat kejutan, tamatkan kontrak ubi muda tipu umur di aplikasi janji temu
BACA LAGI: Raikan jaringan depan penyokong lawan punca bola sepak di Turkiye sekali lagi kecoh
Tindakan berkenaan hanya membuatkan penyokong kedua-dua pasukan meluahkan rasa kurang senang dengan melontarkan kata-kata kesat atas kekecewaan mereka.
Namun, drama tidak terhenti di situ apabila Galatasaray mengadakan perlawanan dengan menurunkan pemain dari bangku simpanan untuk bertemu skuad utama.
Walaupun hanya satu aksi persahabatan, ia sekurang-kurangnya dapat memberi kelegaan buat penyokong yang sanggup meredah perjalanan untuk menyaksikan persembahan daripada kedua-dua pasukan.
Setakat ini, Persatuan Bola Sepak Turkiye (TFF) masih belum mengambil sebarang tindakan terhadap Fenerbahce yang meninggalkan perlawanan.
Tetapi, juara 19 kali Liga Super Turkiye itu dijangka berdepan denda berat kerana kelakuan demikian hanya akan membuatkan kerugian buat kesemua pihak. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram