AKSI bola sepak di Turkiye terpalit dengan kontroversi pertengahan Disember lalu apabila Presiden Ankaragucu, Faruk Koca bertindak melepaskan tumbukan terhadap pengadil.
Kekasaran itu menyaksikan Persatuan Bola Sepak Turkiye (TFF) bertindak menggantung aksi sukan di negara berkenaan sementara siasatan dijalankan.
Namun, masih belum reda daripada kontroversi tersebut, timbul satu lagi kisah mendukacitakan mengenai bola sepak di Turkiye pada Khamis.
Dalam aksi antara Bursaspor dan Diyarbekirspor di Arena Timsah, Turkiye, kekalahan dialami tuan rumah menyaksikan pergaduhan tercetus sebelum wisel penamat ditiupkan.
Jaringan pemain pelawat, Bunyamin Yurur pada minit ke-82 permainan menyaksikan kekecohan berlaku apabila dia dan rakan sepasukan bertindak meraikannya di hadapan penyokong Bursaspor.
Bursaspor tüm spor faliyetlerinden futbolcularıyla ve yöneticileriyle birlikte süresiz men edilsin!pic.twitter.com/Fb84Jdz3nl
— Müslüm Doğan (@muslumdogan59) December 20, 2023
Tindakan itu mengundang padah apabila beberapa pemain dan staf kejurulatihan kedua-dua pasukan bertikam lidah di tepi padang.
Situasi menjadi semakin teruk setelah segelintir daripada mereka mula melakukan keganasan dengan melepaskan tumbukan ke arah satu sama lain.
Kekecohan terbabit sempat dirakam penonton di stadium berkenaan yang kemudiannya tular di media sosial sehingga orang ramai mula mempersoalkan mutu keselamatan bola sepak di Turkiye.
Kejadian itu menyaksikan pengadil terpaksa melayangkan lima kad merah dengan tiga daripadanya diberikan kepada pemain Diyarbekirspor.
Dalam masa sama, TFF masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai pergaduhan berkenaan dengan siasatan masih dilakukan terhadap kedua-dua pasukan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram