[VIDEO] 'Badang TFC' risau Tomi pening kepala, ramai pemain bagus bersaing rebut tempat


  • Podium
  • Isnin, 08 Apr 2024

Keserasian para pemain Terengganu dilihat semakin baik. — Terengganu FC

PERTAHANAN kental Terengganu FC, Argzim Redzovic nyata gembira melihat kualiti yang ada pada pasukannya kerana terdapat ramai pemain-pemain handalan.

Musim ini, Terengganu dibarisi dengan nama-nama hebat seperti Safawi Rasid, Akhyar Rashid serta muka baharu iaitu Marin Pilj dan Matthew Steenvoorden.

Menurut Redzovic, persaingan sihat nyata wujud dalam kem Terengganu dan mereka pastinya ingin memastikan tempat mereka dalam kesebelasan utama berjaya dimiliki.

Malah, Redzovic juga menyatakan yang dirinya 'risau' terhadap pengendali Tomislav Steinbruckner kerana dia mungkin akan berdepan sakit kepala untuk memilih kesebelasan utamanya.

BACA LAGI: Tan Cheng Hoe seolah-olah tak belajar kesilapan 7 tahun lepas

435579072_410842534990520_2003979540791315330_n

Redzovic mengetuai Terengganu dalam perlawanan bertemu Negeri Sembilan.

"Terlalu ramai pemain yang bagus, mereka semua bersaing untuk mendapatkan tempat dan ini adalah bagus untuk pasukan.

"Ia pastinya bukan mudah untuk jurulatih (untuk memilih) kerana terlalu ramai pemain yang bagus di posisi yang sama. Tetapi, ia membantu pasukan menjadi lebih kuat. Jika kami kehilangan seorang pemain, akan ada pemain kedua, jika hilang pemain kedua akan ada pemain ketiga. Kami berjuang demi Terengganu, demi negeri ini, jadi saya rasakan kami mempunyai skuad yang baik," kata Redzovic menerusi Balrz.tv.

Calon pemain naturalisasi Terengganu itu berkata yang skuad mereka sudah hampir siap dari segi kualiti kerana mereka seperti tidak mempunyai banyak perkara perlu dibaiki menjelang musim baharu.

Namun begitu, keserasian dengan kesemua pemain perlulah dibaiki kerana muka-muka baharu masih mengambil masa untuk menyesuaikan diri dengan Terengganu.

BACA LAGI: Jang Naruto cemerlang sepanjang pramusim, silap-silap Selangor, JDT, TFC minat 'masuk line'

"Saya rasa tiada apa yang banyak untuk dibaiki kerana aksi pra-musim pun lebih tertumpu kepada kecergasan pemain kerana liga akan bermula dalam masa sebulan.

"Jadi, apa yang perlu dibaiki adalah keserasian antara satu sama lain kerana pemain baharu memerlukan masa untuk menyesuaikan diri di pasukan baharu. Tetapi anda sendiri boleh saksikan mereka semakin serasi selepas menang besar bertemu PDRM FC.

"Masa masih ada sebulan untuk menguatkan lagi keserasian, dan selepas itu kami akan bersedia untuk musim baharu," ujar Redzovic.

Selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri, Terengganu akan berdepan satu kejohanan jemputan melibatkan empat kelab yang akan diumumkan kemudian. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram