Sudah jatuh ditimpa tangga, Kedah kini tak boleh daftar pemain baharu


  • Podium
  • Ahad, 07 Apr 2024

Skuad Sang Kenari dijangka akan beraksi tanpa pemain baharu menjelang saingan Liga Malaysia Mei nanti. — Facebook/KDAFC

LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) mengesahkan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) tidak boleh mendaftar pemain baharu sehingga sekatan perpindahan pemain ditarik balik oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Stuart Ramalingam berkata, KDA FC boleh mengambil beberapa pemain baharu musim ini namun tidak dibenarkan untuk mendaftarkan mana-mana pemain dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2024/25.

Ia susulan selepas skuad Hijau Kuning itu masih mempunyai tunggakan gaji yang masih belum dilunaskan sehingga hari ini.

Difahamkan, skuad kendalian Nafuzi Zain itu perlu menyelesaikan kes tunggakan gaji yang melibatkan bekas penyerang import, Kipre Tchetche yang kini di bawah pemerhatian FIFA.

Menurut data rasmi di laman sesawang FIFA, larangan pendaftaran pemain baharu masih dikenakan ke atas KDA FC bermula pada tarikh 4 Mac 2024.

BACA LAGI: Nazmi Faiz antara 3 bekas anak buah OKS boleh bantu 'squad depth' Sabah musim depan

WhatsApp Image 2024-04-07 at 16.19.19

Sebahagian sesi latihan akhir Sang Kenari sebelum diberi pelepasan menjelang perayaan Hari Raya. — Facebook/KDAFC

BACA LAGI: Miliki sejarah julang Selangor FC, P Maniam mahu bawa lebih intensiti di Sang Saka Biru

Sebelum ini, Kedah diberikan hukuman potongan tiga mata oleh MFL selepas tidak berjaya menyelesaikan masalah gaji yang dihadapi dalam masa diberikan.

Selain itu, skuad Sang Kenari itu turut dikenakan hukuman denda RM50,000.

Tambah MFL lagi, terdapat kemungkinan skuad Sang Kenari akan dihalang daripada menyertai Liga Super 2024/25 jika masih gagal membuat pembayaran penuh.

"Sekiranya KDA FC gagal membuat pembayaran penuh tunggakan gaji atau mengemukakan bukti dokumen kewangan untuk menyelesaikan pembayaran pada 20 April, 5 petang, maka Lesen Kebangsaan KDA FC boleh ditarik balik," tulisnya.

Selain Syafiq Ahmad, Rizal Ghazali serta tiga pemain import iaitu Sony Norde, Sukhrob Nurullaev dan Habib Haroon antara pemain baharu yang menyertai skuad kendalian Nafuzi Zain. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram