[VIDEO] Corbin-Ong malu besar, jadi mangsa 'Cryuff turn' GK Singapura


  • Podium
  • Jumaat, 05 Apr 2024

Zharfan Rohaizad mencuri tumpuan ketika perlawanan bertemu Johor Darul Ta'zim. — Lion City Sailors

SAMA seperti kelab-kelab lain di Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) turut menjalani perlawanan pra-musim sebagai pemanas badan sebelum saingan bermula.

Bagi juara 10 kali Liga Super, mereka mengadakan perlawanan persahabatan menentang jaguh Singapura iaitu Lion City Sailors (LCS) dalam siri pertemuan pra-musim.

Kedua-dua pasukan dijadualkan bertemu sesama sendiri sebanyak dua kali dengan LCS menjadi tuan rumah terlebih dahulu sebelum JDT menerima kunjungan mereka di Iskandar Puteri.

Dalam aksi persahabatan yang Stadium Bishan, skuad yang dianggap sebagai JDT versi Singapura itu nyata tidak mampu mengekang kehebatan Harimau Selatan apabila mereka tewas 1-2 pada Khamis.

Nicolao Dimitru membuka jaringan untuk JDT sebelum Romel Morales memastikan Harimau Selatan selesa 2-0 di depan. Maxime Lestienne mengurangkan defisit gol namun ia belum cukup dari menghalang JDT daripada memenangi perlawanan.

Namun begitu, terdapat peristiwa yang mencuri tumpuan apabila penjaga gol LCS, Zharfan Rohaizad melakukan tindakan berani berdepan pemain JDT.

Ketika tuan rumah memperoleh sepakan penjuru, Zharfan naik ke atas untuk membantu LCS mendapatkan gol. Apabila bola berjaya dikeluarkan dari kotak penalti JDT, Zhafran ada di luar petak penalti untuk mendapatkan bola.

BACA LAGI: Lepas gantung but, ex Penang kini ubah angin jadi pencari bakat

BACA LAGI: 'Tunggu kenyataan rasmi', CEO Kedah enggan ulas keputusan MFL potong 3 mata

Apabila pertahanan JDT, La'Vere Corbin-Ong cuba untuk merampas bola daripada Zhafran, penjaga gol Singapura itu kemudiannya melakukan sesuatu yang tidak diduga semua penyokong di stadium.

Zharfan melakukan Cryuff turn yang sekali gus berjaya melepasi Corbin-Ong. Tindakan penjaga gol itu disambut riang oleh para penyokong yang hadir menyaksikan perlawanan.

Malangnya, bola hilang dari kawalan Zharfan lalu ia dirampas oleh Nathenial Hong Wan dan pemain itu mengeluarkan bola daripada kawasan JDT. Wisel kemudiannya ditiupkan oleh pengadil menamatkan perlawanan.

Zharfan dan LCS mungkin tewas dalam perlawanan itu, tetapi dia pastinya berasa puas dapat memerangkap salah seorang pertahanan terbaik Malaysia dengan gerakan liciknya.

Kedua-dua pasukan bakal bertemu semula pada 8 April. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram