KEBERADAANNYA di padang begitu menggerunkan pihak lawan sepanjang menyarung jersi tiga kelab Liga Super. Ketajamannya ketika situasi merebut bola di udara sering menggusarkan pertahanan yang menjaganya.
Tandukannya sering menyusahkan pihak lawan, jika diberi peluang melakukan penyudah menggunakan kepala pasti ia akan berakhir dengan jaringan.
Itulah bahaya yang ditonjolkan oleh penyerang kelahiran Brazil iaitu Casagrande, tetapi para pertahanan Liga Super tidak perlu lagi bimbang kerana dia tidak lagi akan beraksi di padang.
Casagrande memilih untuk bersara pada usia 37 tahun. Perjalanannya kini adalah untuk menjadi pencari bakat (scout) dengan membawa pemain-pemain handalan ke Liga Super.
BACA LAGI: 'Tunggu kenyataan rasmi', CEO Kedah enggan ulas keputusan MFL potong 3 mata
Casagrande (depan) pernah beraksi untuk beberapa kelab Liga Super. — Penang FC
Masih bersama agensi yang membantunya mendapatkan iaitu Etminan, Casagrande berkata dia mahu membantu bola sepak Malaysia dengan membawa pemain-pemain terbaik dari Brazil untuk beraksi di Liga Super.
Casagrande jelas sudah terpaut cintanya terhadap Malaysia, malah bekas pemain itu juga mengatakan proses naturalisasinya sudah memasuki separuh perjalanan sebelum dia memilih untuk bersara.
"Ia adalah impian untuk bermain buat Malaysia. Saya dan keluarga sering berasa selesa apabila berada di sini dan anak lelaki saya juga lahir di Kuala Lumpur.
"Tetapi sekarang, saya akan fokus ke arah lain untuk membantu Malaysia dengan membawa bakat-bakat ke Liga Super," kata Casagrande.
Menurut Casagrade, tempat kelahirannya iaitu Maranhao mempunyai ramai pemain berbakat dan dia mahu membawa mereka beraksi di pelbagai sudut dunia dan bukan sekadar Malaysia.
BACA LAGI: Nak jadi pemain bola sepak, mental kena kuat — Safee Sali
Bintang Porto, Galeno berasal dari tempat kelahiran Casagrande iaitu Maranhao. — Agensi
"Di tempat saya, ada seorang pemain bernama Galeno yang beraksi untuk Porto di Portugal. Dia baru saja melakukan penampilan pertama untuk Brazil dan merupakan antara bakat terbaik dari kawasan saya.
"Saya pastinya akan mencari lebih ramai bakat-bakat yang bukan saja untuk dibawa ke Malaysia tetapi untuk negara lain juga. Ia pasti akan menjadi pengalaman yang menarik," ujar Casagrande.
Casagrande bermain untuk beberapa kelab di Liga Super seperti Penang FC, Kuala Lumpur City FC dan Negeri Sembilan FC. — THE STAR/T. AVINESHWARAN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram