JUARA Liga Super 10 kali berturut-turut, Johor Darul Ta'zim (JDT) tiada masalah untuk menewaskan kelab Singapura, Lion City Sailors dengan keputusan 2-1 dalam aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Bishan, Singapura baru-baru ini.
Jaringan pertama JDT disumbangkan oleh penyerang sayap kiri kelahiran Sweden, Nicolao Cardoso seawal minit kesembilan dan penyerang naturalisasi Harimau Malaya, Romel Morales mencetak gol kedua pada minit ke-24.
Manakala, pasukan tuan rumah pula membawa pulang gol sagu hati dari penyerang dari Belgium, Maxime Lestienne berjaya melepaskan rembatan ke gawang yang dijaga Syihan Hazmi pada minit ke-37.
Perlawanan persahabatan di Kota Singa itu menyaksikan pengendali kelab, Hector Bidoglio mengambil pendekatan berbeza apabila tidak menurunkan pemain utama seperti Bergson Da Silva, Fernando Forestieri, Jordi Amat dan Arif Aiman Hanapi.
Pengendali kelahiran Argentina itu sebaliknya memberi kepercayaan kepada muka baharu seperti Romel Morales, Nicolao Dimitru selain pemain berpengalaman JDT iaitu Natxo Insa, Nazmi Faiz dan Junior Eldstal turut menjadi kesebelasan utama.
BACA LAGI: Tampil 1 aksi dalam 34 perlawanan, kualiti import baharu Jang cetus persoalan
Kehadiran Junior (depan) dalam sesi latihan JDT sebelum ini disambut baik penyokong. — Facebook/JDT
Kemunculan kembali Junior menjadi bek tengah Harimau Selatan disambut baik oleh penyokong terutamanya selepas memberi sumbangan yang agak memberangsangkan ketika beraksi buat Harimau Malaya dalam Piala Asia Qatar pada Januari lalu.
Pemain campuran Malaysia-Sweden kelahiran Sabah itu sebelum ini dipinjamkan ke kelab Indonesia, Dewa United dengan dia hanya tampil dalam lima perlawanan bersama pasukan yang kini menghuni tangga ketujuh dalam saingan Liga 1 Indonesia.
Selain Dewa United, bek tengah berusia 32 tahun berkenaan juga dipinjamkan ke dua pasukan kelab Liga 1 Thailand iaitu Chonburi FC pada musim 2020 hingga 2022 dan sempat menyarung jersi PT Prachuap pada awal musim 2023.
Selepas hampir empat tahun berkelana di beberapa kelab, Junior atau nama sebenarnya Putera Nadher Amarhan akhirnya kembali ke pangkuan majikannya dan ada penyokong menjangkakan pertahanan berkenaan akan mengambil posisi Aidil Zafuan Abdul Radzak.
"Junior Eldstal ganti Aidil Zafuan yang berperanan sebagai pertahanan berpengalaman. Jarang bermain, sentiasa bersedia," kata penyokong domestik, PalataoBola.
"Mungkin kalau dengan jurulatih lain susah sikit nak percaya dia (Junior) main. Tapi di bawah jurulatih Hector, aku yakin ramai pemain tempatan diutamakan walau ada 10 orang import bersedia," bagi penyokong JDT, Afqqxx.
"Jurulatih Hector memang suka gunakan pemain dan dia tahu siapa yang boleh bermain," pendapat dari peminat Harimau Selatan, Akulagi_la yang percaya Junior akan mendapat peluang di bawah kendalian Hector.
BACA LAGI: Kembali ke Terengganu, Ott sedia jadi 'perampas' demi kukuh posisi
Junior (kiri) memiliki kelebihan dari segi fizikal. — Facebook/JDT
Selain itu, ada juga penyokong Harimau Selatan berpendapat bahawa Junior akan mengikut jejak langkah Aidil Zafuan untuk bersara JDT dan sekali gus mendapat penghormatan terakhir di Stadium Sultan Ibrahim.
Untuk rekod, Aidil Zafuan sudah mengucapkan selamat tinggal kepada karier bola sepaknya selepas diumumkan akan menjadi sebahagian daripada barisan kejurulatihan kelab itu musim ini.
Walaupun dilihat sudah tidak lagi beraksi di tahap terbaik, Junior memiliki kelebihan dari segi fizikal yang mampu membantu Harimau Selatan dari segi pertahanan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram