Terasa diri bodoh lepas bolos 11 gol, Irfan Haikal terkenang kata-kata pemain Selangor


  • Podium
  • Jumaat, 01 Sep 2023

Irfan Haikal mengharungi episod sukar dalam kariernya apabila memboloskan 11 gol menentang Selangor FC.

BAGI mana-mana penjaga gol, tidak pernah sekali dalam fikiran mereka hendak memboloskan begitu banyak gol dalam sesebuah perlawanan.

Jika memboloskan lima gol sudah dikira terlalu banyak, apatah lagi kalau dua digit? Pastinya itu paling tidak dimahukan oleh mereka.

Malangnya, itulah yang terjadi kepada penjaga gol Kelantan FC, Irfan Haikal apabila dia terpaksa menanggung episod hitam dalam perjalanan awal kariernya sebagai pemain profesional.

Irfan memboloskan 11 gol di laman sendiri sewaktu The Red Warriors dibelasah Selangor FC dalam aksi Liga Super pada 25 Ogos lalu. Itu adalah kekalahan besar ketiga berturut-turut diterima Kelantan selepas tumbang 0-8 kepada Terengganu FC dan 0-10 oleh Johor Darul Takzim.

Ifran yang nyata kecewa dengan apa berlaku, kelihatan bercucuran air mata selepas wisel penamat ditiupkan. Tangisannya menjadi tatapan seluruh rakyat Malaysia ketika itu, seolah-olah dunianya jelas gelap gelita atas apa yang terjadi.

"Saya rasa sedih tak dapat berikan yang terbaik untuk perlawanan itu. Saya tak boleh tidur malam selepas perlawanan.

"Saya rasa macam, 'ya ALLAH kenapa sampai macam ni?' Apa yang saya buat sampai bolos 11 gol? Masa tu saya rasa diri ini bodoh sangat," kata Irfan ketika dihubungi oleh Majoriti.

Selepas perlawanan, Irfan didatangi oleh sekumpulan pemain Selangor untuk cuba menenangkan dia yang cukup kecewa pada waktu itu. Brendan Gan, Faisal Halim dan Shahrul Nazeem antara yang hadir memberikan semangat kepadanya.

Hingga kini, Irfan masih tidak dapat melupakan kata-kata mereka yang membantu pemain itu untuk terus kental meneruskan kariernya yang masih lagi hijau.

"Mereka cakap kepada saya yang saya telah berikan yang terbaik dan apa yang terjadi bukanlah salah kami sebagai pasukan.

"Mereka turut berpesan kepada saya untuk terus bekerja keras, teruskan melangkah kerana permulaan bagi seseorang yang berjaya itu sangat perit," ujar Irfan.

Walaupun mengharungi 90 minit yang cukup sukar, tetapi Irfan memilih untuk tidak digantikan dengan pemain lain sebaliknya kekal di padang kerana pengalaman ini penting untuk kariernya.

Bagi pemain muda sepertinya, beraksi di pentas tertinggi bola sepak Malaysia merupakan satu pengalaman yang tidak boleh dilepaskan.

"Saya terus bersemangat nak main kerana saya diberi peluang untuk tunjukkan bakat beraksi di Liga Super yang merupakan liga utama di Malaysia. Tak semua orang dapat peluang ni, jadi saya gunakan sebaik mungkin peluang yang ada.

"Lagi pun pasukan-pasukan lain semuanya lebih hebat dan kami rata-ratanya dibarisi pemain yang tidak berpengalaman tapi kami tetap beraksi dengan sebaik mungkin hingga wisel penamat," tambah Irfan lagi.

371074273_320861643669159_4418707363424439935_n

Kelantan FC terpaksa tunduk kepada kekuatan Selangor FC ketika bertemu di Kota Bharu. — Facebook/MFL

Usai perlawanan tersebut, Irfan menerima banyak kata-kata semangat oleh kenalan serta penyokong dan dia amat berterima kasih kepada mereka yang terus menyokong perjalanan kariernya.

Mengetahui perjalanan berliku Kelantan musim ini, Irfan tidak mahu mengharapkan bintang jatuh dari langit sebaliknya dia berharap penyokong akan teguh bersama pasukan hingga penghujung jalan.

"Kami akan cuba yang terbaik untuk berjuang habis-habisan sehingga tamat musim. Kami akan bekerja keras untuk pasukan, saya pun berharap Kelantan akan bangkit macam dulu.

"Terima kasih saya ucapkan kepada penyokong Kelantan kerana tetap setia menyokong sehingga sekarang walaupun pasukan sedang terumbang-ambing. Kerana anda, kami selaku pemain masih tetap di sini. Andalah penguat semangat kami," ucap Irfan

Walaupun Irfan menerima rekod kurang baik musim ini, tetapi pemain ini berjaya mencatatkan nirbolos (clean sheet) sewaktu bertemu Negeri Sembilan FC pada 9 Ogos. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram