KONTROVERSI mengenai jurulatih di Persatuan Berbasikal Kuala Lumpur (KLCA), Datuk Ng Joo Ngan dilihat sudah mula menunjukkan tanda-tanda ia akan surut.
Sebelum ini, Joo Ngan dikatakan telah mengamal sikap pilih kasih dalam kalangan pelumbanya hinggakan mencetus layanan seperti anak tiri kepada segelintir warga KLCA.
Isu tersebut telah menyebabkan bekas Presiden KLCA, Datuk Razlan Razali meletakkan jawatan selepas kecewa dengan tindakan kurang proaktif ahli jawatankuasa persatuan dalam menguruskan kontroversi itu.
Namun begitu, Joo Ngan telah secara terbuka mengatakan yang dia mahu move on daripada perkara tersebut sambil mengatakan ia merupakan kali pertama dirinya terpalit dalam isu sedemikian.
"Sepanjang hidup saya sebagai atlet berbasikal dan jurulatih kebangsaan, ini adalah kali pertama perkara seperti ini berlaku kepada saya. Saya cuma mahu tutup buku daripada isu ini," kata Joo Ngan.
BACA LAGI: "Saya tak paksa sesiapa pun...', Joo Ngan mahu 'move on' isu amal pilih kasih pelumba KLCA
Isu elaun dalam kalangan pelumba KLCA sudah berada di tahap kritikal. — Youth Cycling Malaysia
Mana pergi elaun?
Di saat Joo Ngan memilih untuk menutup buku, tetapi ia tidaklah semudah yang disangka. Hal ini kerana, masih ada golongan ibu bapa yang tidak senang dengan layanan pilih kasih jurulatih veteran itu terhadap anak mereka.
Menurut satu sumber yang enggan identitinya didedahkan, dia mengatakan sikap pilih kasih yang diamalkan bukan saja telah merebak ke tahap pemilihan pelumba ke kejohanan, malah melibatkan urusan elaun.
Sumber tersebut memberitahu Majoriti, elaun bulanan yang sepatutnya diterima oleh para pelumba tidak dibayar untuk berbulan lamanya.
Elaun yang diperoleh hasil dana daripada Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP) melibatkan wakil untuk temasya Sukan Malaysia (Sukma), pertandingan Junior Cycling Malaysia (JCM) serta kejohanan Yayasan Sime Darby (YSD) yang dilangsungkan dekat Velodrom Nasional Malaysia, Nilai.
Sumber mendakwa, para pelumba sudah lama tidak menerima elaun dengan pelumba Sukma tidak lagi mendapatnya secara bulanan sementara wakil di pertandingan JCM dan YSD sudah dinafikan bayaran yang dibayar setiap kali perlumbaan diadakan.
Mereka sudah mendapatkan penjelasan daripada Joo Ngan tetapi dia enggan memberikan sebarang respons. Sumber mengatakan isu elaun kini di tahap kritikal dan sememangnya perlu diatasi segera.
BACA LAGI: Hariss Harun kembali ke SSI, kali ini pegang watak 'antagonis'
Elaun pelumba yang menyertai YCM sudah lama tidak dibayar. — KBS Malaysia
Elaun tiada, kebajikan terabai
Selain daripada elaun yang langsung tiada khabar berita, nasib segelintir pelumba KLCA yang menjadi mangsa pilih kasih Joo Ngan turut terabai kebajikan.
Sumber mendedahkan yang kebajikan para pelumba ketika hari perlumbaan amat terabai kerana kelengkapan semuanya perlu disediakan oleh diri sendiri.
"Di tempat perlumbaan JCM, tiada khemah, tiada roller, tiada air. Semua pelumba kena sediakan sendiri.
"Tidak seperti pasukan lain seperti Johor, Perak, Selangor atau Putrajaya, mereka mempunyai kelengkapan lengkap. Kelengkapan untuk pasukan Kuala Lumpur ni apa pun tak ada, kasihan," kata sumber tersebut.
Wakil ibu bapa kepada pelumba yang terkesan dengan layanan pilih kasih ini telah bertindak melaporkan perbuatan tersebut kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan sedang menanti hasil siasatan mereka. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram