AFC B-23: Persis Oman, Mukhairi Ajmal risau wajah baharu Vietnam di Qatar


  • Podium
  • Rabu, 03 Apr 2024

Mukhairi khuatir ancaman yang diberikan Vietnam bersama pengendali baharu mereka. — FAM

MASA sudah semakin singkat sebelum tirai Piala Asia B-23 di Qatar bakal dibuka dengan Malaysia bersedia untuk memberikan persembahan terbaik.

Bakal berdepan Uzbekistan, Kuwait dan Vietnam, Harimau Muda berdepan cabaran sukar untuk memastikan mereka berjaya melepasi peringkat kumpulan terlebih dahulu sebelum boleh mensasarkan ke separuh akhir.

Skuad kendalian Juan Torres Garrido itu memerlukan tempat di separuh akhir untuk membolehkan Malaysia layak beraksi dalam acara bola sepak di Sukan Olimpik 2024 di Paris, Perancis.

Namun begitu, tugasan mereka dilihat sukar apabila seteru Asia Tenggara iaitu Vietnam bakal berwajah baharu dalam masa dua minggu sebelum kejohanan bermula.

Hal ini kerana, Vietnam telah melepaskan pengendali mereka iaitu Philippe Troussier selepas mencatatkan rekod memalukan apabila mereka tewas tiga kali berturut-turut kepada Indonesia.

BACA LAGI: Hasbullah gembira dapat sertai Kedah tapi penyokong fikir kelab patut utamakan 'ubi'

435050526_1123245572082011_2052423433236278354_n

Skuad Malaysia B-23 melakukan persiapan di Qatar untuk Piala Asia B-23. — FAM

BACA LAGI: Brendan Gan sudah 'move on' lupakan Selangor, mahu fokus beri KL piala

Pengendali itu yang menjaga skuad senior turut mengetuai skuad B-23 dan sepatutnya berada di Qatar bersama-sama Vietnam.

Dengan ketiadaan Troussier, ia menimbulkan kegerunan buat pemain Harimau Muda, Mukhairi Ajmal mengenai ancaman yang boleh ditonjolkan Vietnam di Qatar.

Menurutnya, ia ibarat situasi sama dihadapi skuad Harimau Malaya apabila berdepan Oman yang datang dengan pengendali baharu selepas jurulatih lama dipecat selepas Piala Asia 2023.

"Situasi yang serupa dengan apa skuad senior lalui pada dua minggu lalu apabila tumpas dua kali kepada Oman dalam kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 selepas jurulatih lawan hadir dengan taktikal tak diduga.

"Kami tahu Vietnam ada jurulatih baharu dan ini menjadikan mereka pasukan penuh misteri, jadi kami perlu berhati-hati," kata Mukhairi.

Buat masa sekarang, Vietnam dikendalikan oleh jurulatih sementara iaitu Mai Duc Chung dan mereka dijangka tidak akan mengumumkan pengendali baharu dalam masa terdekat.

Harimau Muda sudah berada di Qatar untuk menjalani tiga lagi aksi pemanas badan sebelum perlawanan pertama berdepan Uzbekistan diadakan pada 17 April.

Malaysia akan berdepan China (3 April) dan Qatar (6 atau 7 April) sebelum satu lagi perlawanan pemanas badan akan diadakan pada 10 atau 11 April dengan pihak lawan masih belum dapat disahkan. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram