WALAUPUN hatinya kecewa kerana terpaksa berpisah, tetapi Brendan Gan mengakui dirinya sudah boleh berdamai dengan takdir.
Hal ini berlaku selepas empat tahun bersama-sama Selangor FC, kelab itu memilih untuk melepaskan Gan apabila musim Liga Super 2023 telah tamat.
Gan yang dianggap sebagai crowd favourite dalam kalangan penyokong berasa kecewa kerana kelab tidak menyelitkan namanya dalam perancangan musim ini. Tambahan pula selepas dia membantu Selangor kembali ke Asia atas kapasiti ketua pasukan.
Kini menyertai jiran tetangga iaitu Kuala Lumpur City FC, Gan mengatakan yang dia sudah boleh menerima perkara itu dan pandang ke depan.
Sasarannya kini adalah ingin membantu skuad Warga Kota kembali menjulang kejuaraan selepas kali terakhir melakukannya pada 2021.
"Saya mempunyai masa yang indah di Selangor, tiada satu pun yang buruk di sana dan saya amat menikmati masa saya (bersama mereka).
"Kami mempunyai banyak kejayaan pada penghujung musim lalu dan saya teruja untuk membantu mereka lagi pada 2024 tetapi dalam bola sepak, semuanya berlaku dengan pantas.
"Saya telah lama berdamai dengan takdir dan saya rasa inilah peluang terbaik saya. Saya berharap saya dapat membantu Kuala Lumpur ke arah kejayaan," kata Gan.
BACA LAGI: Hero Sabah-TFC termasuk bekas buangan JDT masih 'available'
BACA LAGI: Hasbullah gembira dapat sertai Kedah tapi penyokong fikir kelab patut utamakan 'ubi'
Pemergian Gan ke KL City agak mengejutkan kerana sebelum ini namanya sering dikaitkan dengan satu kelab Pantai Timur iaitu Sri Pahang FC.
Malah, pada satu ketika, namanya dilihat begitu hampir untuk menyertai Tok Gajah namun pada saat akhir dia memilih untuk kekal di Lembah Klang.
Menurutnya, faktor keluarga yang sudah selesa tinggal di Lembah Klang menjadi punca kenapa dirinya memilih untuk melawan arus dengan menyertai seteru Selangor.
"Keluarga memainkan peranan besar dalam keputusan saya dan kekal di kota adalah perkara penting buat saya.
"Memang benar ada kelab lain yang menunjukkan minat dan itu menyukarkan saya untuk membuat pilihan. Jadi, saya berbincang dengan keluarga saya yang memudahkan urusan saya.
"Urusan untuk mengesahkan perpindahan itu dilakukan dalam masa yang singkat. Terima kasih kepada pihak pengurusan yang memudahkan urusan saya untuk terus kekal di ibu kota," ujar Gan lagi. — THE STAR/S. SAKTESH
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram