Isu 'surat layang': FAM sedia buat laporan polis


  • Podium
  • Isnin, 01 Apr 2024

Kongres FAM mengumpulkan wakil daripada kesemua persatuan bola sepak dalam negara. — Facebook/FAM

KONGRES kali ke-60 Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menjadi tumpuan ramai kerana pelbagai kontroversi dan tanda tanya terpalit dengan persatuan berkenaan.

Prestasi tidak menentu Harimau Malaya dan masa depan pengendalinya, Kim Pan-gon sudah tentu menjadi topik yang dikupas.

Malah, ramai juga pastinya menantikan jawapan FAM terhadap isu 'surat layang' baru-baru ini yang mendedahkan isu di sebalik persatuan tersebut.

Selain mengatakan setiausaha agung mereka, Datuk Noor Azman Rahman menyalahgunakan kuasa, terdapat dakwaan mengatakan terdapat ketirisan dana berlaku.

Menjawab akan tuduhan tersebut, FAM mengeluarkan kenyataan media yang menepis segala spekulasi melibatkan pucuk kepimpinan persatuan.

BACA LAGI: 'Tunggu esok', isu gaji staf FAM, salah guna kuasa dan KPG akan terjawab

434949600_1123055368767698_57679215761552155_n

Hamidin (kanan) dan Noor Azman merupakan antara yang terpalit dengan kontroversi 'surat layang'. Facebook/FAM

"Segala apa yang dinyatakan oleh penulis surat layang berkenaan adalah lebih bersifat untuk menyerang peribadi yang merupakan fitnah dan tohmahan semata-mata.

"Ia juga dilihat datang daripada seorang individu atau lebih yang mempunyai rasa tidak puas hati dengan kepimpinan tertinggi FAM," tulisnya.

FAM turut mempertimbangkan untuk membuat laporan polis terhadap penulis yang masih belum dikenal pasti kerana mencalarkan imej mereka.

"Bantuan akan cuba diperolehi daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dalam mengesan sumber asal e-mel surat layang tersebut dan jika ia melibatkan staf FAM, siasatan dalaman turut akan dibuat," tulisnya lagi.

Selain itu, mereka turut menegaskan Pan-gon dan pembantunya, Pau Marti Vicente masih akan kekal memegang jawatan masing-masing walaupun terdapat spekulasi melibatkan kedua-dua mereka.

BACA LAGI: FAM tidak panik dakwaan surat layang — Rosmadi Ismail

434726411_1123051852101383_6359306683816977426_n

Pan-gon (kanan) merupakan antara yang hadir ketika Kongres kali ke-60 FAM. Facebook/FAM

Menurutnya, pendedahan sumber yang mengatakan jurulatih kelahiran Korea Selatan itu bakal meninggalkan skuad kebangsaan adalah tidak tepat.

Bagi Pau Marti pula, ketiadaannya sebelum ini adalah disebabkan masalah peribadi dan bukanlah kerana sudah tidak lagi bersama Harimau Malaya.

"Dia sebenarnya dimasukkan ke hospital pada 23 Mac iaitu sehari selepas skuad kebangsaan pulang dari Muscat, Oman kerana mengalami masalah kesihatan.

"Dia ditahan wad selama enam hari dan hanya dibenarkan pulang ke rumah pada 28 Mac lalu. Justeru, Pau Marti sah masih bersama skuad Harimau Malaya," katanya lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram