SITUASI yang begitu janggal akan terjadi apabila sesebuah liga sukan mengumpulkan pasukan dalam bilangan ganjil.
Dalam bola sepak misalnya, majoriti daripada saingan dari seluruh dunia akan menyaksikan setiap divisyen disertai dengan bilangan pasukan yang genap jumlahnya sama ada 16, 18 atau 20 penyertaan.
Namun berbeza skripnya di Malaysia apabila saingan Liga Super akan menyaksikan hanya 13 kelab sahaja yang bertanding merebut kejuaraan untuk musim 2024/2025.
Keputusan itu diambil selepas badan penganjur liga, Malaysian Football League (MFL) memilih untuk terus kekal dengan jumlah tersebut selepas pelbagai isu melibatkan kelab-kelab seperti Kelantan FC dan Perlis United FC.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Stuart Ramalingam, dia mengatakan keputusan itu tidak akan berubah dan Liga Super akan menyaksikan format yang sedikit luar biasa akan digunakan musim ini.
Melainkan jika ada perubahan minit akhir, Liga Super akan dilengkapi dengan 14 kelab. Namun menurut Stuart, semua itu mungkin tidak akan terjadi.
"Tak ada (merujuk kepada penyertaan 14 kelab). Kita telah membuat pengumuman mengenai keputusan untuk adakan liga dengan 13 pasukan.
"Keputusan tersebut adalah kekal sehingga kini," kata Stuart memetik laporan Balrz.tv.
BACA LAGI: Kembali ke Terengganu, Ott sedia jadi 'perampas' demi kukuh posisi
MFL sahkan saingan Liga Super 2024/25 hanya melibatkan 13 pasukan. Jadi akan ada 1 pasukan tidak akan beraksi di setiap minggu perlawanan. #PlayOn pic.twitter.com/lvhFTeHSCt
— Balrz.tv (@balrztv) April 2, 2024
Dengan teguhnya keputusan yang dilakukan oleh MFL, Liga Super akan menyaksikan setiap kelab bermain sebanyak 24 perlawanan liga bagi musim 2024/2025.
Setiap minggu akan diadakan enam perlawanan dengan satu kelab akan berehat secara bergilir akibat bilangan pasukan yang ganjil.
Keputusan untuk mengekalkan penyertaan 13 kelab dalam Liga Super berkemungkinan besar berkait rapat dengan isu kewangan yang melanda beberapa pasukan.
Dengan Kelantan telah dihumban ke Liga M3, Perlis United yang cuba menjadi kelab ke-14 gagal untuk menyakinkan MFL apabila mereka tidak berjaya memperoleh lesen kebangsaan.
BACA LAGI: [VIDEO] Khabib hayun rotan, hukum atlet gagal patuhi peraturan rambut pendek
Stuart (kanan) ketika menghadiri Kongres FAM ke-60 di Subang Jaya, Selangor. — FAM
Tindakan tersebut juga menyaksikan MFL benar-benar memilih kelab yang boleh stabil dari segi kewangan untuk bersaing dalam Liga Super supaya tiada lagi masalah gaji tertunggak dalam kalangan pemain dan pegawai.
Sementara Kelantan dan Perlis United dinafikan tempat dalam Liga Super, dua kelab iaitu Kedah Darul Aman FC dan Kuala Lumpur City masih layak untuk bersaing.
Namun begitu, jika mereka masih melakukan kesilapan sama berkemungkinan MFL akan memberikan hukuman lebih berat kepada kedua-dua kelab. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram