BARU-BARU ini, kem Sabah FC menerima perkhabaran gembira apabila bakal menerima kehadiran import baharu.
Ura-ura berkenaan timbul selepas kelibat pemain dari Greece, Haris Stamboulidis kelihatan di padang latihan skuad Sang Badak.
Memiliki ketinggian 1.86 meter pastinya akan memberi kelebihan buat Sabah FC dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.
Bagaimanapun, hasrat penyokong Sang Badak untuk melihatnya menyarung jersi pasukan itu masih belum kesampaian kerana tiada kata putus yang diberikan pihak pengurusan Sabah FC setakat ini.
Begitupun, Ketua Jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim See memuji disiplin yang ditampilkan oleh import berkenaan selain boleh beraksi di bahagian pertahanan dan tengah.
BACA LAGI: ‘Hanya stadium SSI tak berlopak, mentaliti bodoh sombong’, TMJ respons isu padang SNBJ
Stamboulidis perlu menunggu kata putus untuk mendapatkan peluang menyertai skuad Sang Badak. — Facebook/Sabah FC
BACA LAGI: Faktor 'manja' Arif Aiman jadikan Faisal Halim lebih layak raih gelaran MVP ABK 2023
Ketika ini, pemain berusia 27 tahun itu sedang menjalani ujian dengan skuad The Rhinos untuk menilai kemampuannya beraksi di atas padang.
"Dia nampak bagus dalam latihan tetapi kami akan menilai lagi kebolehannya. Jika semuanya berjalan lancar, pihak pengurusan akan membincangkannya. Saya tahu bajet musim ini tidak sama dengan dua musim lepas.
“Jika dia berjaya mencuri perhatian, kami berharap dapat mencapai kesepakatan untuk pemain dan kelab. Jika dia menyertai kami, dia boleh menjadi pemain import terakhir untuk kami," kata Kim Swee.
Ketika ini, Sang Badak mempunyai beberapa import berkualiti antaranya, penyerang berbisa, Ramon Machado, bek tengah, Gabriel Peres, Park Tae-su, Ko Kwang-min, pemain sayap Indonesia, Saddil Ramdani, Miguel Cifuentes dan Telmo Castanheira.
Mengulas mengenai persediaan menjelang Liga M, Kim Swee berharap dapat menganjurkan beberapa perlawanan persahabatan di Kota Kinabalu, Sabah dan jemputan telah dihantar kepada kelab di Malaysia dan Singapura.
“Kami juga akan memaklumkan kepada peminat sekiranya kami mengadakan perlawanan pramusim yang mungkin berlangsung pada April atau awal Mei. Pihak pengurusan akan membuat keputusan mengenai perkara ini," katanya.
Bagi sasaran musim ini, Kim Swee berharap mereka dapat menamatkan saingan dalam kelompok lima terbaik liga bersama skuad yang dimilikinya.
Sasaran itu nampaknya boleh dicapai kerana Kim Swee masih mengekalkan inti pati skuadnya untuk musim baharu. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram