PRESTASI cemerlang penyerang import Terengganu FC (TFC), Ivan Mamut musim 2023 sangat memberangsangkan apabila pihak pengurusan Sang Penyu menyambung kontrak pemain kelahiran Croatia itu untuk saingan Liga Super musim depan.
Meskipun bermula perlahan musim lalu, Ivan Mamut bagaimanapun mampu membuktikan kredibilitinya sebagai penyerang apabila meledak 22 gol dalam 32 penampilan bersama Terengganu.
Dalam pada itu, ditanya mengenai persediaan pasukan Terengganu FC musim depan, Ivan sempat berkongsikan perancangan skuad tersebut.
"Semua persediaan berjalan lancar kerana kami masih mempunyai satu bulan lebih untuk berlatih selain ada perlawanan persahabatan menjelang saingan Liga Super Mei nanti," katanya kepada Majoriti.
BACA LAGI: [VIDEO] Genap setahun lalu, Teong Kim, Arif Aiman 'berperang' di tepi padang
Ivan Mamut bercit-cita besar mahu gegar gawang Harimau Selatan. — Facebook/Terengganufc
Tambahnya lagi, dia sudah cukup bersedia untuk membantu skuad Sang Penyu musim depan dengan hasrat mahu memecahkan rekod jaringannya musim 2023.
"Saya harap dapat menjaringkan lebih banyak jaringan kerana setiap musim saya memang mahu mencetak gol.
"Musim 2023 adalah terbaik untuk saya dan team, jadi saya harap musim ini boleh melakukan lebih baik lagi," kongsinya.
Ditanya mengenai beberapa wajah baharu dalam skuad Sang Penyu, penyerang berketinggian 1.92 meter itu mengambil positif kemasukan pemain tersebut sebagai senjata rahsia.
"Ramai pemain baharu yang berkualiti dibawa masuk dan ia sangat bagus untuk team, saya nampak banyak pemain berkualiti. Setiap posisi yang ada akan lakukan dengan baik untuk pasukan," katanya.
Bercakap mengenai Johor Darul Ta'zim (JDT), Ivan Mamut turut bercita-cita tinggi untuk menewaskan pasukan gergasi tanah air itu selepas tewas 1-3 aksi Piala Malaysia 2023.
Ivan (kanan) percaya skuad kendalian Tomislav Steinbrucker mampu meraih kedudukan ketiga terbaik saingan Liga Super 2024. — Facebook/Terengganufc
BACA LAGI: Boszam nafi TRW tarik diri Liga M3, 'ex player' nasihat lebih baik bayar hutang walaupun satu sen
"Kenapa tidak boleh tewaskan mereka? Musim lepas pun kami dapat beri saingan 1-3 dengan mereka (JDT). Saya juga terlepas peluang ketika itu, mereka bermain dengan 11 pemain dan TFC pun sama.
"Secara jujurnya dalam bola sepak kena percaya dan semua akan berjalan dengan lancar. Kami yakin akan pergi ke final musim depan kerana tiada yang mustahil dalam bola sepak.
"Kecederaan yang saya alami ketika ini juga semakin pulih kerana pramusim tahun ini lebih lama dan saya boleh berehat.
"Lagi lima hingga enam minggu saya boleh turun latihan bersama pasukan dan akan beraksi menjelang pembukaan Liga Malaysia (Liga M) nanti.
"Walau bagaimanapun, kami tetap akan bersaing untuk menjadi first eleven nanti sebab tiada guarantee untuk pemain utama sebelum ini diturunkan, ia bagus supaya kami lebih bekerja keras," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram