[VIDEO] Lepas ganti seluar koyak, legenda Indonesia terus sumbat gol kemenangan Gergasi Merah


  • Podium
  • Ahad, 31 Mac 2024

Bambang menjaringkan dua gol ketika perlawanan akhir Piala FA 2005. — Agensi

MUSIM 2005 dalam saingan Liga Malaysia merupakan detik yang cukup indah buat Selangor FC. Musim tersebut menyaksikan mereka berjaya merangkul tiga piala dan menguasai bola sepak negara.

Ketika itu, Selangor dibarisi dengan pelbagai pemain handalan seperti Amri Yahyah, Shukor Adan serta penjaga gol Jamsari Sabian.

Skuad Gergasi Merah turut dikuatkan dengan gandingan pemain import handalan seperti Brian Fuentes serta duo dari seberang iaitu Bambang Pamungkas dan Elie Aiboy.

Gandingan dua pemain dari Indonesia itu nyata cukup berbisa buat Selangor terutamanya Bambang yang memang tajam dalam memburu jaringan.

Kualitinya terbukti apabila berjaya membantu Selangor mara sehingga ke perlawanan akhir Piala FA dengan perhitungan bertemu Perak FC diadakan di Stadium Shah Alam.

Dihadiri oleh ribuan penyokong Selangor di gelanggang keramat mereka, Bambang cemerlang menjaringkan dua gol dengan salah satunya terhasil di penghujung permainan.

Namun begitu, sebelum jaringan tersebut berlaku, satu insiden telah berlaku apabila seluar yang dipakai oleh Bambang telah terkoyak.

Ia terjadi berkemungkinan layanan 'mesra' yang diberikan para pemain Perak dalam mengawal pergerakan Bambang hinggakan seluarnya terpaksa diganti.

Ketika perlawanan masih lagi berlangsung, Bambang terpaksa pergi ke bangku simpanan Selangor untuk seketika lalu melakukan pertukaran seluar.

Sebaik saja proses itu selesai, Bambang terus menyertai perlawanan dan menerima bola. Dia kemudiannya menghantar bola kepada Elie yang menanti di sebelah kanan padang sebelum ia dihantar kembali kepadanya.

Bambang kemudiannya melakukan tandukan terbang untuk memastikan bola melintasi pintu gol Perak bagi menjadikan kedudukan 4-1 di penghujung permainan. Ia sekali gus mengesahkan kemenangan buat Selangor yang menjulang Piala FA buat kali keempat pada tahun tersebut.

BACA LAGI: 'One to watch', Faiz Nasir, 'Hulk JDT' antara 3 pemain bersinar aksi pramusim Liga M

BACA LAGI: Jangan terkejut, 3 perpindahan 'underrated' boleh undang plot twist nasib kelab Liga M

Walaupun Perak berjaya mendapatkan satu lagi gol selepas itu, tetapi ia masih tidak cukup untuk menghalang Selangor daripada mendapatkan kejuaraan tersebut.

Melangkah ke hari ini, gol tersebut kekal menjadi antara detik bersejarah bagi Selangor. Dengan status Bambang yang dianggap sebagai pemain import handalan pada era moden Gergasi Merah, ia menjadikan jaringan tersebut lebih manis bagi para penyokong.

Selangor kemudiannya berjaya meraih satu lagi Piala FA pada 2009 dan sejak itu, trofi tersebut tidak lagi singgah ke kabinet kelab tersebut.

Bambang juga telah bersara daripada bermain secara profesional dan dia giat menceburkan diri dalam bidang kejurulatihan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram