Nafi letak jawatan, ekor HM lega Pan-gon terus komited latih skuad kebangsaan


  • Podium
  • Ahad, 31 Mac 2024

Kim Pan-gon menafikan dia meletakkan jawatan sebagai pengendali Harimau Malaya. — FAM

KANCAH bola sepak Malaysia bergegar untuk seketika apabila pengendali skuad kebangsaan, Kim Pan-gon dikatakan menawarkan diri untuk meletakkan jawatan.

Hal ini susulan daripada prestasi Harimau Malaya yang tidak begitu baik sejak daripada Piala Asia 2023. Untuk rekod, dalam lima perlawanan terakhir, Malaysia cuma mencatatkan seri sekali dan tewas empat kali.

Namun begitu, desas-desus tersebut terus dipadamkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada Sabtu apabila mereka mengatakan Pan-gon terus komited untuk mengemudi Harimau Malaya dalam usaha mencapai impian ke Piala Dunia 2026 sambil mengesahkan tempat di Piala Asia 2027.

"Saya sendiri telah memberi jaminan kepada beliau bahawa misi saya bersama skuad Harimau Malaya belum berakhir dan saya tidak akan meninggalkan pasukan ini begitu sahaja.

"Untuk makluman semua penyokong Harimau Malaya, saya akan terus komited untuk membimbing skuad Harimau Malaya sehingga kontrak saya berakhir pada hujung 2025 dengan misi utama untuk membawa Malaysia layak ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 dan layak automatik ke Piala Asia 2027," kata Pan-gon.

BACA LAGI: Pernah korek tong sampah cari tiket 'flight', Azmeer Yusof dedah pengalaman buruk dibuli pemain senior

BACA LAGI: Jangan terkejut, 3 perpindahan 'underrated' boleh undang plot twist nasib kelab Liga M

Jaminan yang diberikan oleh Pan-gon itu telah meredakan keresahan yang melanda terutamanya dalam kalangan penyokong Harimau Malaya.

Bagi mereka, Pan-gon masih individu tepat untuk mengemudi skuad Harimau Malaya. Mungkin ketika ini, Malaysia sedang mengalami masalah dari segi prestasi, tetapi itu tidak bermakna pengendali dari Korea Selatan itu harus diketepikan.

Rata-rata penyokong Harimau Malaya berasa syukur kerana Pan-gon memilih untuk kekal bersama Malaysia. Mereka kagum dengan komitmen diberikan pengendali itu untuk terus memajukan bola sepak Malaysia.

"Kekalkan Kim Pan-gon. Kita takkan jumpa lagi jurulatih yang begitu berdedikasi seperti dia. Imbas kembali bagaimana reaksi dia semasa Harimau Malaya menyamakan kedudukan 3-3 menentang negara kelahirannya sendiri," kata penyokong bersama Anthony Huang.

"Kekalkan KPG. Persembahan di era KPG tetap baik. Kena terima hakikat pilihan pemain yang terhad dalam skuad Harimau Malaya sedia ada," ujar A'dien Aman pula.

"Syukur ALHAMDULILLAH, berserabut betul kepala memikrkannya sampai susah nak tidur malam. Sebenarnya ada yang tak kena dengan pemain-pemain," komen Aslam Rafif yang kelegaan.

Jelas sekali, Pan-gon merupakan watak popular dalam skuad Harimau Malaya dan mendapat sokongan padu daripada para penyokong.

Dari situasi ini, dapat dilihat ramai penyokong yang benar-benar mempertahan kepimpinan Kim Pan-gon. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram