MUSIM baharu Liga Super menyaksikan pelbagai kelab telah membawa masuk pelbagai nama baharu untuk menguatkan skuad mereka.
Terdapat pelbagai perpindahan berprofil tinggi yang berlaku seperti pinjaman Safawi Rasid dan Akhyar Rashid ke Terengganu FC, kepulangan Syafiq Ahmad kepada Kedah Darul Aman FC serta Umar Eshmurodov menyertai Selangor FC.
Namun begitu, terdapat beberapa perpindahan yang sebenarnya bersifat underrated tetapi perlu diberikan perhatian kerana mereka turut mempunyai potensi besar untuk menyerlah.
Dalam analisis ringkas Majoriti kali ini, kita akan menyenaraikan tiga perpindahan underrated yang perlu diberikan lebih perhatian oleh anda:
1. Richmond Ankrah
Tanpa diduga, nama Ankrah terpilih untuk dipinjamkan oleh Selangor kepada Penang FC pada musim ini. Perpindahan ini nyata tidak disangka akan berlaku kerana tumpuan lebih terarah kepada Sikh Izhan yang hadir daripada kelab sama.
Perpindahan Ankrah harus diberikan perhatian bukan saja buat penyokong Penang tetapi Selangor juga. Hal ini kerana, 2024 merupakan musim kedua Ankrah di Malaysia jadi perkembangannya sebagai pemain haruslah diberi perhatian.
Keputusan untuk meminjamkan Ankrah kepada Penang dilihat sebagai situasi menang-menang buat kedua-dua kelab. Penang berjaya mendapatkan pertahanan muda berkualiti sementara Selangor boleh melihat perkembangannya bersama Harimau Kumbang.
Persembahan Ankrah musim ini bakal mencorak masa depannya bersama Selangor dan jika berjaya mencuri hati penyokong Penang, tidak mustahil kalau dia akan kembali ke Stadium Bandaraya pada musim seterusnya.
2. Takumi Sasaki
Kehadiran pemain import dari Jepun ke Negeri Sembilan FC ini membawa sesuatu yang segar buat kelab itu dalam musim 'buat semula' selepas persembahan longlai 2023.
Sasaki mungkin menyertai kelab yang tidak diharapkan akan menjulang kejuaraan, tetapi rekodnya di Jepun membuatkan perhatian perlu diberikan kepadanya musim ini.
Pemain tengah menyerang itu merupakan juara saingan divisyen tiga Jepun bersama Ehime FC pada musim lalu. Dengan reputasi itu, Negeri Sembilan sebenarnya sudah berjaya mendapatkan pemain berkualiti.
Mungkin apabila musim bermula, barulah impak Sasaki akan mula kelihatan dan banyak mata mula memandang ke arahnya.
BACA LAGI: 'Ada gentlemen agreement', Selangor selit syarat berbeza dalam pinjaman 2 pemain ke Penang
Sasaki hadir ke Negeri Sembilan dengan reputasi juara J.League divisyen tiga. — NSFC
3. Harith Akif
Satu nama pemain tempatan yang memasuki senarai kali ini adalah pemain yang sebelum ini beraksi buat Kelantan FC iaitu Harith Akif.
Walaupun menjalani musim yang sukar bersama-sama Kelantan musim lalu, kini Harith mempunyai peluang untuk menonjolkan kehebatannya bersama-sama Perak FC.
BACA LAGI: Teruja beraksi bersama idola, bintang muda TRW optimis skor lawan JDT
Harith Akif berpotensi menyerlahkan bakatnya bersama Perak. — Perak FC
Di bawah kendalian Yusri Che Lah, Harith berpeluang untuk mengembangkan bakatnya sambil berada dalam skuad yang lebih baik berbanding bekas kelabnya. Ditambah dengan kepakaran Yusri membangunkan bakat muda, Harith berpotensi untuk pergi jauh bersama Perak.
Persembahannya bersama Perak musim ini harus diberikan perhatian kerana potensi yang ditonjolkan musim lalu dijangka akan lebih menyinar musim ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram