Pernah korek tong sampah cari tiket 'flight', Azmeer Yusof dedah pengalaman buruk dibuli pemain senior


  • Podium
  • Ahad, 31 Mac 2024

Azmeer mendedahkan dia pernah menjadi mangsa buli ketika menjadi pemain muda. — Facebook/Azmeer Yusof

TIDAK kira di mana sekali pun, budaya buli sentiasa ada dan menghantui kita. Perbuatan tersebut nyata meninggalkan kesan baik secara fizikal atau mental kepada si mangsa.

Ia terjadi di mana-mana saja baik dekat sekolah, pejabat atau pasukan bola sepak. Dalam sesebuah skuad, unsur buli tetap berlaku walaupun ia mungkin tidaklah digembar-gemburkan seperti di tempat lain.

Bagi bekas pemain Kedah Darul Aman FC dan Kuala Lumpur City FC, Azmeer Yusof, dia juga tidak lari daripada menjadi mangsa buli dalam kariernya. Menurutnya, dia pernah berdepan beberapa situasi sukar akibat buli ketika menjadi pemain muda.

Azmeer mendedahkan dia pernah dipulaukan oleh rakan-rakan sepasukan hinggakan terpaksa melakukan segalanya sendirian.

Mujur untuknya, mereka yang memulaukan Azmeer kemudiannya telah disingkirkan daripada pasukan namun dia terus kekal berkhidmat.

Pengalaman paling perit adalah ketika dia dibuli oleh pemain senior di lapangan terbang. Ketika itu, tiket penerbangan Azmeer telah dicampak ke dalam tong sampah hinggakan tiada siapa yang mahu mengaku bertanggungjawab terhadap perbuatan itu.

Mujur ada seorang rakan sepasukan yang mengatakan ia berada dalam tong sampah, lalu Azmeer terpaksa mencarinya dalam timbunan tersebut agar tidak terlepas penerbangan.

BACA LAGI: 'One to watch', Faiz Nasir, 'Hulk JDT' antara 3 pemain bersinar aksi pramusim Liga M

BACA LAGI: Jangan terkejut, 3 perpindahan 'underrated' boleh undang plot twist nasib kelab Liga M

"(Kejadian) berlaku di lapangan terbang luar negara. Pemain-pemain senior waktu itu ambil tiket flight saya, renyukkan dan campak tiket saya tu dalam tong sampah.

"Bila saya tanya masing-masing tak beritahu tiket saya di mana. Mereka siap gelak-gelak lagi waktu tu. At the end, ada seorang pemain ni bocor rahsia beritahu ada dalam tong sampah. Tapi saya kena selongkar tong sampah tu cari tiket saya.

"Sedih beb waktu ni. Waktu saya cari tiket tu jugalah panggilan terakhir untuk masuk ke penerbangan. Mujurlah ALLAH jumpakan juga tiket saya tu," kata Azmeer.

Selain itu, Azmeer juga turut mendedahkan pengalamannya pernah dibuli dengan cara lazim seorang pemain bola sepak lalui. Cara tersebut adalah seperti perlunya mencuci jersi dan kasut pemain senior serta mengangkat bagasi kesemua ahli skuad.

Walaupun ia adalah pengalaman perit dan buruk, tetapi Azmeer bersyukur diberikan peluang memaluinya kerana ia sedikit sebanyak menguatkan mentalnya sebagai pemain.

Namun begitu, dia tetap menentang segala bentuk buli dengan niat untuk mengajar seseorang.

"Sedikit sebanyak, ALLAH kuatkan mental saya untuk menghadapi cabaran kehidupan yang lebih mencabar. Dan saya percaya, disebabkan itu saya memahami perasaan orang yang dibuli.

"Pembulian bukan satu bentuk pembelajaran. Tolong ubah persepsi tu. Saya tak terbelajar satu apa pun dari yang saya kena," ujar Azmeer. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram