Kisah musim lalu tak jadi mimpi ngeri, bek kental Kelantan kekal di Pantai Timur


  • Podium
  • Isnin, 01 Apr 2024

Rata-rata tonggak skuad TRW kini memilih untuk menyarung jersi skuad Kijang Emas. — Facebook/TRW Kelantan FC

KEMELUT pengurusan dialami Kelantan FC musim lalu boleh dianggap cukup kritikal sehingga menyaksikan hampir kesemua pemain meninggalkan kelab itu.

Selain mahu meneruskan karier masing-masing, ada di antara mereka mengambil langkah itu demi punca pendapatan lebih stabil.

Antara pasukan yang menjadi tumpuan rata-rata bintang skuad The Red Warriors (TRW) ialah Kelantan Darul Naim (KDN) FC meskipun ia merupakan seteru utama kelab itu.

Kelab yang sebelum ini dikenali sebagai Kelantan United itu mengalu-alukan kehadiran bekas tonggak Kelantan FC kerana mereka mempunyai misi tersendiri dalam Liga Super musim depan.

Salah seorang bekas pemain skuad TRW yang mengambil langkah demikian ialah pertahanan kiri, Afzal Akbar yang diumumkan sebagai rekrut baharu KDN FC pada Mac.

BACA LAGI: Tak tertarik kebangkitan KDN, kesetiaan ultras Kelantan kekal buat TRW

433490568_857305489742440_5964927838501177706_n

Afzal kini fokus untuk membantu skuad Kijang Emas musim depan. — Facebook/KDN FC

Menurutnya, dia memilih untuk kekal di bumi Darul Naim kerana masih terdapat misi yang masih belum dilunaskan ketika bersama kelab lamanya.

"Tahun lepas, saya hanya beraksi di sini untuk separuh musim. Jadi, saya rasa berhutang dengan penyokong yang tidak putus memberi dorongan kepada saya.

"Peminat bola sepak Kelantan cukup bersemangat dan ini menjadi sebab saya sertai KDN FC. Selain itu, saya juga dapat tahu ramai bekas rakan sepasukan sertai KDN FC," katanya.

Selain membuat perubahan terhadap nama dan identiti pasukan, skuad Kijang Emas turut menyaksikan kehadiran tampuk pengurusan baharu.

BACA LAGI: Jangan ulangi kesilapan Terengganu, KDN FC tak perlu cabar TRW untuk jadi kelab 'terpaling' Kelantan

433634838_857305389742450_1250098197719232638_n

Reezal pasti tahu kelemahan dan kekuatan anak-anak buahnya. Facebook/KDN FC

Di atas padang pula, kelab berkenaan turut hadir dengan imej berbeza apabila memilih untuk menggunakan khidmat bekas pengendali skuad TRW, Reezal Zambery Yahya.

Pelantikan itu turut dikatakan menjadi faktor Afzal memilih KDN FC kerana pernah bekerjasama dengan jurulatih berkenaan ketika masih berada di Liga Perdana dua tahun lalu.

"Dia mahu anak-anak buahnya beraksi dengan baik ketika sesi latihan. Dia sering mahukan yang terbaik, tetapi kami cukup memahami akan kehendaknya.

"Persaingan untuk posisi saya cukup sihat. Jadi, ia sudah menjadi sumber motivasi saya untuk berikan yang terbaik dalam setiap sesi disertai," katanya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram