KEPUTUSAN kelab Liga Super, Kelantan United FC melakukan penjenamaan semula kepada Kelantan Darul Naim FC (KDN) melihatkan usaha pihak pengurusan untuk menguatkan jenama mereka.
Dilihat sebagai kelab kedua di Kelantan di belakang Kelantan FC yang dikenali sebagai The Red Warriors (TRW), Sang Kijang Hijau pastinya tidak mahu dianggap sebagai kelab kelas kedua atau kelab yang hanya disokong bila TRW sedang lemah seperti waktu sekarang.
Perubahan yang cuba dibawa oleh KDN itu satu tindakan bagus. Tetapi, mereka tidak perlu untuk mengikut laluan TRW dan sibuk cuba membuktikan merekalah kelab 'terpaling' Kelantan di negeri itu.
Dalam analisis ringkas Majoriti akan membincangkan kenapa tindakan KDN (bukan Kementerian Dalam Negeri) itu adalah tidak tepat.
Jangan ulang kesilapan Terengganu
Sebenarnya ia bukanlah kali pertama sebuah kelab menjenamakan diri mereka menggunakan nama negeri berserta gelaran. Ia dimulakan dengan Johor Darul Ta'zim kemudiannya Kedah Darul Aman FC.
Malah, ia bukan kali pertama sesebuah buat negeri mempunyai dua kelab yang hampir serupa. Sebelum ini, bumi Terengganu pernah menyaksikan perkara sama berlaku.
Sebelum ini, Terengganu mempunyai dua kelab hampir serupa iaitu Terengganu FC serta T-Team. Dari segi identiti, semuanya adalah serupa.
Kedua-duanya memakai jersi hitam putih dan beraksi di Kuala Terengganu. Apabila timbul situasi ini, sukarlah untuk kelab kedua (dalam kes ini adalah T-Team) untuk mendapatkan sokongan kerana Terengganu sudah menjadi ikutan ramai sejak dulu.
Situasi serupa sedang dihadapi oleh KDN. Mereka kembali memakai merah tanpa diselit hijau seperti era Kelantan United serta bermain di Kota Bharu seperti TRW.
Perkara ini membuatkan penyokong, terutamanya yang tegar akan menolak sekuatnya kewujudan KDN. Pada mereka, hanya satu kelab boleh menguasai Kota Bharu iaitu TRW.
BACA LAGI: Terbang ke Johor kuatkan lagi spekulasi Police Tero jadi 'pusat transit' JDT
T-Team telah ditamatkan operasinya pada 2017. — Agensi
Ambil jalan berbeza
Jika mereka mahu terus menggunakan nama baharu, pengurusan KDN FC perlu membuat keputusan sukar dengan meninggalkan Kota Bharu dan jadikan salah satu jajahan negeri tersebut sebagai kubu kuat mereka.
Tidak perlu terlalu jauh, hanya berpindah ke jajahan sebelah Kota Bharu sudah memadai. Asalkan beraksi di stadium lain dan tidak menggunakan Stadium Sultan Muhammad IV. Yang itu, biarlah TRW saja gunakan.
Apabila berpindah di tempat baharu, mereka boleh membina fanbase daripada mula serta dekatkan diri dengan komuniti setempat. Bagi penyokong yang selama ini berasa jauh untuk ke Kota Bharu bagi melihat TRW beraksi, mereka boleh lupakan kelab itu demi KDN FC memandangkan mereka lebih dekat.
Seandainya mereka masih mahu kekal di Kota Bharu, eloknya mereka harus kekalkan identiti Kelantan United. Dengan lebih menfokuskan warna hijau, mereka boleh tonjolkan yang bola sepak di negeri itu bukan sekadar merah, tetapi turut ada hijau.
Mereka boleh mengambil pendekatan sama seperti Kuching City FC dengan menjadi kelab berasaskan daerah dan bertukar kepada Kota Bharu FC. Benar, secara pangkatnya, Kuching City lebih rendah berbanding Sarawak United FC di sana,
Akan tetapi, dengan pengurusan yang bijak dan terurus, sebuah kelab daerah boleh menolak kelab negeri sekali gus menjadi pasukan terulung di wilayah tersebut.
BACA LAGI: Terpaksa lantik kapten baharu HM, ramai bintang senior termasuk Safee Sali diketepikan jumpa Oman
Kuching City kini merupakan kelab utama di Sarawak. — KCFC
Cabaran berliku
Dengan keputusan menjadi KDN FC, pastinya cabaran berliku untuk mereka mendapatkan sokongan setempat sekali gus mencabar ketuanan TRW sebagai kelab utama Kelantan.
Oleh kerana mereka begitu serupa dari segi identiti, mungkin ia membuatkan penyokong seolah tiada pilihan kerana kedua-dua sedang teruk apabila beraksi.
Walaupun begitu, kita perlu mengalu-alukan negeri dengan pelbagai kelab kerana ia akan menambah lebih banyak pasukan dalam Liga Malaysia.
Apa pun, semoga berjaya buat KDN FC. Yang penting, pastikan tiada masalah gaji dalam kalangan pemain dan pegawai. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram