Dah ada 2 striker import tapi ini 3 sebab Pahang masih perlu Shahrel Fikri


  • Podium
  • Isnin, 01 Apr 2024

Shahrel Fikri sudah dikaitkan dengan skuad Tok Gajah sejak jendela perpindahan dibuka. — Facebook/Negeri Sembilan FC

ROMBAKAN jentera serangan merupakan fokus utama skuad Tok Gajah sepanjang jendela perpindahan kerana jumlah gol mereka merupakan yang terendah dalam kelompok lima kelab teratas Liga Super.

Kepulangan pemain sayap, Manuel Hidalgo menjadi bahan bualan hangat dengan orang ramai beranggapan kehadirannya mampu memberi ancaman lebih hebat.

Tetapi, penyokong Sri Pahang turut melihat kemasukan penyerang kelahiran Ukraine, Mykola Ahapov mampu membawa nafas baharu buat jentera serangan pasukan.

Dia yang dibawa untuk menggantikan Rafael Silva sekali gus melenyapkan khabar angin bahawa kelab Pantai Timur tersebut akan mendapatkan bekas pemain kebangsaan, Shahrel Fikri Mohd Fauzi.

Pemain yang kini berusia 29 tahun itu sebelum ini dilepaskan Negeri Sembilan FC meskipun muncul sebagai salah seorang penjaring terbanyak skuad Jang.

Keputusan penyerang terbabit meninggalkan pasukan itu dikatakan berpunca daripada khabar angin yang mengaitkannya dengan Sri Pahang FC.

BACA LAGI: Sri Pahang berwajah baharu, mesin gol JDT antara 3 bekas bintang Liga M jadi idaman

WhatsApp_Image_2024-02-29_at_11.49.49_1709189995

Shahrel kini bergelar ejen bebas selepas tidak lagi terikat dengan skuad Jang. Facebook/Negeri Sembilan FC

Namun, dengan skuad Tok Gajah sudah memiliki gandingan Ahapov dan kapten, Kpah Sherman, khidmat Shahrel seakan-akan tidak lagi diperlukan.

Keadaan berkenaan pasti mengecewakan penyerang yang juga dikenali sebagai Eky itu kerana dia terpaksa mencari majikan baharu sebelum jendela perpindahan ditutup.

Tetapi, berdasarkan pemerhatian Majoriti, Sri Pahang FC masih memerlukan Shahrel musim depan untuk menguatkan lagi jentera serangan mereka.

Berikut merupakan tiga sebab skuad Tok Gajah perlu membawa masuk penyerang kelahiran Tawau, Sabah itu meskipun masih terdapat dua penyerang import.

1. Misi besar di peringkat domestik

Seperti mana diketahui, Sri Pahang FC sudah agak lama tidak menjulang trofi apabila kejuaraan terakhir dimenangi mereka adalah Piala FA 2018.

Kemarau itu pasti sukar diterima rata-rata penyokong memandangkan kelab berkenaan pernah diangkat sebagai salah sebuah pasukan terbaik negara.

Jadi, penantian tersebut semestinya diharapkan mampu berakhir musim depan dengan sebuah gelaran diharapkan mampu diraih skuad kendalian Fandi Ahmad.

BACA LAGI: Tonggak HM puas raih gol sulung aksi musim 2023 bersama Sri Pahang

WhatsApp_Image_2018-07-07_at_11.43.29_PM.jpeg.transformed

Kali terakhir skuad Tok Gajah menjulang gelaran adalah pada 2018.

Dalam merealisasikan objektif berkenaan, skuad lebih mantap perlu dipersiapkan kerana kehilangan tonggak akan membuatkan mereka goyah di atas padang.

Kemasukan Shahrel untuk diturunkan dalam aksi Piala FA atau Piala Malaysia mampu memberikan ruang buat Kpah dan Ahapov fokus kepada saingan Liga Super.

Bagaimanapun, perancangan itu dikhuatiri akan merencatkan hasrat penyerang terbabit untuk menyertai Sri Pahang FC kerana dia mahu diturunkan lebih kerap.

2. Prestasi cemerlang musim lalu

Sekiranya dibandingkan pemain lokal dalam saingan liga utama musim lalu, prestasi dipamerkan Shahrel Fikri tidak boleh dipandang remeh.

Enam gol dan dua bantuan jaringan yang direkodkan meletakkannya di tempat kelima pemain tempatan paling produktif dengan dia berada di kedudukan lebih baik berbanding Darren Lok.

Catatan itu juga boleh dianggap cukup memberangsangkan kerana pemain itu sebelum ini kerap mengalami kecederaan sepanjang bersama Selangor FC.

1893238

Shahrel Fikri memiliki rekod lebih baik berbanding Darren Lok (gambar). Facebook/FAM

Jika dia meraih jumlah minit permainan seperti mana ketika masih bersama Negeri Sembilan FC, tiada penghalang buatnya mengulangi catatan terbabit.

Malah, terdapat juga kemungkinan dia dapat menambah baik rekod itu melihat kepada barisan pemain skuad Tok Gajah yang mampu menghidangkan peluang buatnya.

Jadi, sekiranya Sri Pahang FC berjaya menyambar khidmatnya, ia akan memberi satu kelebihan buat jentera serangan pasukan yang memburu lebih banyak jaringan.

3. Ketidaktentuan Ahapov

Ketika Ahapov diumumkan sebagai rekrut baharu skuad Tok Gajah, terdapat kegusaran sama ada dia dapat menyesuaikan diri dalam pasukan atau tidak.

Selain pertama kali menjejakkan kaki di rantau Asia Tenggara, dia yang diimport dari Ukraine dikhuatiri berdepan kesukaran beraksi dalam cuaca panas dan lembap.

Situasi sedemikian dikhuatiri akan membuatkan penyerang berusia 30 tahun terbabit tidak dapat menjalankan tugas di hadapan pintu gol dengan cemerlang.

mykola

Mampukah Ahapov menyesuaikan diri dalam musim pertamanya bersama skuad Tok Gajah? Facebook/Sri Pahang FC

Jadi, dalam mengelakkan situasi sedemian berlaku, Sri Pahang perlu berfikir selangkah ke hadapan dengan membawa masuk Shahrel.

Dia yang sudah bertahun-tahun bermain dalam Liga Super pasti tidak akan berdepan sebarang masalah, lebih-lebih lagi jika diturunkan dengan kerap.

Penggiliran masih boleh dilakukan sekiranya Shahrel masih diambil dan Ahapov menemui rentaknya dengan pendekatan itu dapat memuaskan hati kedua-dua pihak. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram