PENYERANG sayap Johor Darul Ta'zim (JDT), Arif Aiman Hanapi mungkin sudah memenangi Pemain Paling Berharga (MVP) selama tiga tahun berturut-turut tetapi ia masih tidak mencukupi baginya.
Pemain berusia 21 tahun berkenaan masih merasakan dia belum melakukan apa-apa.
Sejak menjadi pemain profesional pada 29 Februari 2020, Arif Aiman menjadi pemain penting dalam bola sepak Malaysia. Kehadirannya mula dirasai pada tahun 2021 selepas memberikan persembahan memukau di sayap kanan.
Menarik perhatian penyokong tanah air dengan kemahiran menggelecek dan pengawalan bolanya, Arif Aiman perlahan-lahan menambah baik sentuhan penyudah dan hantaran kreatif sehingga menjadikannya sebagai bintang di persada domestik.
Dalam semua pertandingan domestik, graduan Akademi Mokhtar Dahari berkenaan sudah bermain dalam 97 perlawanan dengan menjaringkan 32 gol dan memberikan 33 hantaran bantuan.
Musim lalu sahaja, pemain dari Kuantan, Pahang itu menjaringkan 21 gol dan memberikan 14 bantuan dalam semua pertandingan domestik yang menjadikannya sebagai salah satu bintang kegemaran bola sepak Malaysia.
BACA LAGI: ABK 2022: Arif Aiman tepati ramalan, sambar gelaran MVP 2 musim berturut-turut
Bagaimanapun, di sebalik semua anugerah dan trofi yang sudah dikecapinya, pemain utama Harimau Malaya tersebut masih mendambakan lebih banyak lagi perkara baik serta kejayaan dalam kariernya.
“Saya bukan seorang yang mudah berpuas hati. Saya tidak menjangka untuk memenangi anugerah MVP buat kali ketiga berturut-turut tetapi ia mengujakan kerana saya telah mencapai semua ini pada usia 21 tahun.
“Saya mahu menjaringkan lebih banyak gol berbanding musim lalu. Saya mahu melakukan yang lebih baik setiap tahun. Saya tidak menetapkan sebarang sasaran khusus, tetapi saya hanya memberitahu diri saya untuk menikmati proses itu dan menjadi lebih baik," katanya.
Pemain yang sudah mengumpul 28 kaps bersama Malaysia dan sudah menjaringkan tujuh gol itu perlu meningkatkan kemahirannya kerana permainan akan terus berkembang.
“Saya tidak boleh terlalu selesa dengan cara saya bermain, terutamanya sebagai penyerang. Pasukan pasti akan menghasilkan taktik dan cara berbeza untuk menghalang anda, tetapi kami hanya perlu belajar dan keluar daripadanya dengan lebih baik," kongsinya.
Arif Aiman memenangi Anugerah Penyerang Terbaik, Pemain Muda Terbaik serta berkongsi Anugerah Kasut Emas Liga Super (tempatan) bersama-sama Faisal. — Instagram/ArifAiman
Arif Aiman juga pernah memenangi anugerah Pemain Muda Terbaik untuk tiga musim berturut-turut dalam Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) dan 2023 adalah tahun terakhir dia layak untuk kategori berkenaan.
Dia mengakui bahawa dia sentiasa melihat perkembangan beberapa anak muda yang mendorongnya untuk menjadi lebih baik.
“Saya perlu katakan pertandingan itu tidak mudah sama sekali. Pemain menjadi lebih baik dan akan ada bakat baharu yang akan datang. Tahun depan, saya akan berusia 22 tahun dan saya tidak akan layak untuk anugerah pemain muda, jadi saya perlu meningkatkan permainan,” katanya.
Selain memenangi anugerah MVP dan Pemain Muda dalam majlis anugerah baru-baru ini, Arif Aiman turut menggondol anugerah Penyerang Terbaik dan penjaring Gol Terbaik bagi musim lepas.
Gol yang membawanya memenangi anugerah itu adalah aksi ketika menentang Perak semasa pertembungan separuh akhir Piala Malaysia.
Arif Aiman turut berkongsi anugerah penjaring terbanyak pemain tempatan bersama Faisal Halim. Kedua-duanya telah menjaringkan 12 gol setiap satu sepanjang musim. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram