[VIDEO] Cemerlang 'tepis' Nigeria, Samassa buktikan pertahanan barai Sri Pahang punca reputasinya tercalar


  • Podium
  • Ahad, 31 Mac 2024

Samassa kini beraksi bersama Stade Lavallois dalam Ligue 2. — Agensi

NAMA Mamadou Samassa pasti masih diingat penyokong Sri Pahang FC apabila penjaga gol kelahiran Perancis berkenaan pernah mewarnai skuad Tok Gajah pada saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2022.

Jika diimbau semula detik pertama kali, penjaga gol berusia 34 tahun itu ke bumi Pahang, Samassa mendapat sambutan yang agak luar biasa berikutan reputasinya sebagai bekas penjaga gol kebangsaan skuad Mali.

Samassa pernah mewakili Perancis di pelbagai peringkat umur sebelum membuat penampilan bersama skuad kebangsaan Mali dan membantu negaranya menduduki tempat ketiga di Piala Negara-Negara Afrika pada 2013.

Selain itu, Samassa yang memiliki ketinggian 1.97 meter itu juga tiba dengan pengalaman yang cukup bernilai kerana pernah menjadi benteng terakhir untuk pasukan Ligue 2, Guingamp dan Troyes.

Nasib Samassa bersama Sri Pahang bagaimanapun agak kurang memberangsangkan selepas dia dibolosi sebanyak 33 gol dalam 26 penampilan bersama Tok Gajah bagi saingan Liga Super musim 2022.

BACA LAGI: 'Berguru' dengan Hector Bidgolio, Aidil Zafuan bangga kekal jadi keluarga JDT

BACA LAGI: [VIDEO] JDT baik hati, beri peluang ejen bebas guna fasiliti demi cari majikan baharu

Disebabkan prestasi buruk dalam menjadi benteng terakhir kelab Pantai Timu berkenaan, Samassa tidak disambungkan kontrak dan kini beraksi bersama kelab Perancis, Stade Lavallois dalam Ligue 2.

Berbeza dengan persembahan di saingan Liga Super, Samassa beraksi dengan sangat baik untuk Stade Lavallois dan dia juga berhasil dipanggil kembali ke skuad kebangsaan Mali baru-baru ini.

Persembahan cemerlang Samassa menjaga gawang Mali menyaksikan Nigeria tidak dapat mencetak sebarang gol dan keputusan akhir 2-0 memihak kepada skuad The Eagles dalam aksi persahabatan antarabangsa itu.

Aksi tangkas Samassa dalam persembahan menentang pasukan gergasi Afrika berkenaan membuatkan para penyokong skuad Tok Gajah mengimbau semula prestasi Sri Pahang pada musim 2022.

"Kasihan dia. Semasa main di Pahang, pertahanan barai sangat. Tinggi dia dan aksi dia dah okay," kata penyokong Sri Pahang, Ayrilnabil.18.

"Dia ini kalau balik Malaysia mahu trauma dia nanti," tambah penyokong Tok Gajah, aididizuan50.

Barisan pertahanan Sri Pahang ketika itu dianggotai Muslim Ahmad, Azwan Aripin, David Rowley dan Sherzod Fayziev. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram