TIDAK boleh dinafikan bahawa Johor Darul Ta'zim (JDT) mempunyai fasiliti cukup canggih, terutamanya yang bertujuan menambah baik keadaan dan fizikal pemain.
Teknologi perubatan yang dimiliki kelab itu boleh dikategorikan sebagai antara yang terbaik kerana ia dibangunkan untuk mengelakkan pemain daripada disisihkan terlalu lama akibat kecederaan.
Jadi, tidak hairanlah apabila rata-rata bintang Harimau Selatan berada dalam keadaan optimum meskipun selepas terlibat dengan isu kecergasan buat satu tempoh panjang.
Malah, ada juga yang mengambil peluang di sebalik kecanggihan teknologi fasiliti untuk kembali pulih meskipun kini tidak lagi terikat dengan juara Liga Super 10 kali berturut-turut itu.
BACA LAGI: Tahu kualiti Harimau Selatan tapi Hariss Harun tetap teruja dapat peluang berdepan JDT
Penyerang kelahiran Labuan, Hazwan Bakri dilihat mengambil peluang berkenaan selepas mengalami kecederaan anterior cruciate ligament (ACL).
Ia dikongsikan pemain tersebut menerusi beberapa hantaran di Instastory peribadinya yang memaparkannya berlatih dan menggunakan teknologi milik JDT untuk kembali ke tahap kecergasan terbaik.
Hal berkenaan pasti membawa sedikit kejutan memandangkan pemain yang turut dikenali sebagai Jack itu tidak lagi terikat dengan skuad Harimau Selatan.
Bagaimanapun, peluang terbabit masih diberikan kerana bekas penyerang kebangsaan itu mencurahkan khidmatnya buat pasukan Selatan tanah air berkenaan sejak 2017.
Hazwan akan meninggalkan JDT selepas tujuh tahun menabur khidmat. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Hazwan sebelum ini mengalami kecederaan dalam aksi penutup Liga Super 2023 menentang Penang FC di laman sendiri yang menyaksikan reaksinya cukup kecewa akan keadaan tersebut.
Isu tersebut sekali gus menutup peluangnya mencari pasukan baharu apabila masing-masing tidak mahu menanggung risiko dalam menampung kos pemulihannya.
Sepanjang jendela perpindahan kali ini, pemain berkenaan beberapa kali dikatakan bakal menyertai Sri Pahang FC, namun masih tiada perkembangan dikongsikan.
Jika khidmatnya tidak disambar mana-mana kelab, terdapat kemungkinan Hazwan akan menamatkan kariernya memandangkan usianya kini sudah mencecah 33 tahun. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram