Rekod gol kurang cantik, Wan Jamak tahu alasan Nafuzi bawa Milos Gordic ke Sang Kenari


  • Podium
  • Jumaat, 29 Mac 2024

Faktor taktikal berpotensi jadi pendorong Nafuzi (kanan) ingin mendapatkan khidmat Gordic. — Facebook/KDA FC

KEDAH Darul Aman (KDA) FC akhirnya mengumumkan pemain import dari Serbia, Milos Gordic sebagai peledak baharu pasukan Hijau Kuning bagi membantu menghadapi Liga Malaysia (Liga M) musim 2024-2025.

Pemain yang sebelum ini berstatus ejen bebas setelah dilepaskan kelab divisyen kedua China, Wuxi Wugo berkenaan disambar untuk memperkuatkan jentera serangan pasukan Utara tanah air itu.

Walaupun Gordic mendapat markah lebih dari segi ketinggian iaitu mencecah 1.87 meter serta struktur fizikalnya yang sasa namun timbul kesangsian mengenai kebolehannya selepas melihat statistik perlawanan.

Berdasarkan data yang dikeluarkan laman Transfermarkt, pemain berusia 31 tahun berkenaan hanya menjaringkan 31 gol dan mencipta 10 hantaran bantuan dalam 131 penampilan sepanjang kariernya.

Rekod berkenaan jelas menimbulkan kebimbangan dalam penyokong dan khuatir jika Gordic tidak akan bertambah baik sepanjang bersama skuad Sang Kenari yang mahu berada di kedudukan lebih baik dalam saingan Liga Super 2024/25.

isi dalam

Gordic memiliki struktur fizikal yang diharapkan mampu membantu skuad Sang Kenari musim depan. — Agensi

Bagi pemerhati bola sepak tanah air yang juga bekas pengendali Kedah, Wan Jamak Wan Hassan, rekod dimiliki oleh penyerang baharu Kedah itu jelas memberi persepsi negatif dalam kalangan penyokong.

Menurutnya, ada beberapa kelab ataupun jurulatih akan mengambil seorang pemain berdasarkan bentuk fizikal namun perkara penting seperti sejarah kecederaan juga perlu diambil kira.

"Perlu berhati-hati untuk rekrut pemain. Jika profil 31 gol dalam 131 penampilan sahaja, mungkin dikira satu perlawanan berapa sahaja gol dia boleh hasilkan. Dari situ kita boleh tahu jika penyerang itu seorang yang prolifik.

"Kadang-kadang saya lihat ini bukan satu penyakit tapi satu budaya yang perlu dilihat. Kita tengok fizikal cantik tapi macam mana dengan kecederaan, disiplin dan sebagainya. Perkara sebegini juga penting kepada pasukan," katanya kepada Majoriti.

WhatsApp Image 2024-03-28 at 10.17.54 PM

Gordic (tiga dari kanan) diumumkan sebagai rekrut import terbaru Sang Kenari. Facebook/KDA FC

Untuk rekod, pemain yang berpengalaman beraksi dengan beberapa kelab di Serbia itu pernah berehat hampir enam bulan dek kecederaan ketika beraksi bersama FK Smederevo 1924 pada musim 2019.

Bagaimanapun, Wan Jamak juga tidak menafikan taktikal jurulatih juga boleh mempengaruhi keputusan untuk mengambil seorang pemain walaupun ada di antara mereka tidak memiliki profil mengagumkan.

"Mungkin jurulatih (Nafuzi Zain) lihat pemain itu sesuai dengan taktikalnya. Sesuai untuk melengkapkan pasukannya dan sesuai untuk disatukan dengan pemain lain. Walaupun profilnya tidak memberangsangkan.

"Secara keseluruhan, pasti pemain yang dibawa akan berikan sesuatu. Sebelum perlawanan bermula ini akan menyaksikan para pemain perlu menunjukkan sesuatu sebelum liga bermula. Tapi selagi liga tak bermula, kita tak tahu macam mana sumbangan pemain," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram