Bakal dibuka untuk Piala Sultan Selangor, ada cadangan jadikan Stadium Merdeka gelanggang rasmi HM


  • Podium
  • Sabtu, 30 Mac 2024

Piala Sultan Selangor akan menjadi acara pertama dianjurkan pada pembukaan semula Stadium Merdeka. — Agensi

MASA sudah semakin hampir untuk stadium yang penuh dengan sejarah, Stadium Merdeka kembali digunakan untuk acara bola sepak.

Stadium yang penuh dengan memori indah skuad Harimau Malaya akan kembali digunakan dengan acara pertama iaitu Piala Sultan Selangor edisi 2024 akan diadakan di gelanggang tersebut.

Selepas beberapa tahun menyepi, Piala Sultan Selangor akan kembali membuat kemunculan pada Ogos ini dengan mereka menjadikan gelanggang tersebut sebagai lokasi.

Keputusan untuk mengadakan perlawanan di Stadium Merdeka itu juga cukup signifikan kerana gelanggang itu pernah menjadi 'rumah' rasmi buat Gergasi Merah sehingga Stadium Shah Alam dibuka pada 1994.

Melihat kepada kemunculan semula Stadium Merdeka, ia memberikan kisah baharu kepada kisah berkenaan gelanggang bola sepak di negara kita.

Di saat Stadium Nasional Bukit Jalil sering menjadi cemuhan penyokong kerana isu padang yang tidak pernah berakhir, Stadium Merdeka hadir untuk memberikan pilihan kedua buat mereka.

BACA LAGI: Gordic, Safawi dan Jalil boleh jadi rekrut paling bernilai untuk kelab masing-masing

merdeka-stadium

Stadium Merdeka akan kembali dibuka pada Ogos ini. — Agensi

BACA LAGI: 'Berguru' dengan Hector Bidgolio, Aidil Zafuan bangga kekal jadi keluarga JDT

Terdapat pendapat dalam kalangan penyokong yang berasakan sudah tiba masa kedua-dua stadium ikonik negara ini membahagikan tugas masing-masing supaya isu rumput Bukit Jalil tidak berulang.

Menyedari rumput di Bukit Jalil rosak kerana penganjuran konsert, terdapat cadangan untuk menjadikan Stadium Merdeka sebagai gelanggang rasmi Harimau Malaya pada masa akan datang.

"Jadikan Stadium Merdeka gelanggang rasmi Harimau Malaya dan Stadium Nasional Bukit Jalil tempat anjurkan konsert. Selasai masalah padang," kata penyokong bernama Tajuddin Razak.

"Dulu-dulu stadium amat meriah, sesuai untuk Harimau Malaya. Naik taraf dan tukar rumput, kapasiti 45,000 sudah memadai. Abaikan Bukit Jalil, biarkan dia buat konsert sampai runtuh," ujar Razali Hmz.

Namun begitu, cadangan tersebut menerima idea berbeza daripada penyokong lain. Hal ini kerana, ada yang berpendapat supaya Stadium Merdeka yang dijadikan lokasi mengadakan acara-acara selain bola sepak seperti konsert.

Hal ini kerana, Stadium Merdeka juga pernah menjadi lokasi penganjuran konsert pada zaman kegemilangannya terutamanya era 1990-an.

"Zaman 1990-an memang Stadium Merdeka buat konsert, tak tahu kenapa kerap sangat buat di Bukit Jalil," kata penyokong bernama Farouk Abu Bakar.

"Betul tu, dulu Jeniffer Lopez pun pernah buat konsert di Stadium Merdeka," komen Mista Xzam pula.

Pembukaan semula Stadium Merdeka bakal membuka peluang baharu untuk pengurusan stadium di Malaysia.

Mungkin pihak-pihak berwajib seperti Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) serta Permodalan Nasional Berhad (PNB) yang menjaga stadium bersejarah itu boleh mencari titik tengah atau kerjasama untuk menyelesaikan isu padang serta penggunaan stadium di Malaysia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram