NAMA penyerang muda Kelantan FC, Muhammad Harith Akif menjadi sebutan penyokong bola sepak The Red Warriors (TRW) selepas dia mempamerkan persembahan cemerlang ketika perlawanan menentang Penang FC dalam aksi Liga Super minggu lepas.
Pemain yang sebelum ini beraksi bersama skuad simpanan TRW di saingan Piala MFL itu hampir meledak hatrik selepas di hadapan ribuan penyokong tuan rumah pada perlawanan tersebut, sebelum percubaannya terkena palang gol.
Dua jaringan golnya sebelum itu dicetak pada minit ke-10 dan di awal babak kedua namun jaringannya serta satu dari Natanael Siringoringo masih kurang berhasil untuk membawa tiga mata buat Kelantan FC.
Harimau Kumbang meraih kemenangan dalam aksi ke-16 itu menerusi jaringan daripada Hadin Azman pada minit ke 19 dan 30, Rafael Vitor (41') serta gol terakhir daripada Alif Ikmalrizal Anuar di pada babak akhir kedua.
Persembahan berkualiti dari pemain berusia 22 itu menyebabkan ramai penyokong berharap agar dia mampu menjadi tonggak utama untuk cuba mengkucar kacirkan pertahanan JDT dan sekali gus membolosi gawang yang dijaga Syihan Hazmi.
Mengulas harapan penyokong itu, Harith Akif optimis untuk cuba melakukan percubaan bagi mencetak jaringan walaupun menyedari Harimau Selatan lebih mempunyai banyak barisan pemain berkualiti.
Harith Akif yang mempunyai pengalaman beraksi bersama Akademi Leeds United di England itu juga bersyukur kerana pengendali Kelantan, Angel Alfredo Vera memberi dia dan rakannya peluang untuk beraksi bersama pasukan senior.
"Bagi saya bola itu bulat jadi hmmm. Memang semua orang akan cakap susah sebab JDT kan pasukan besar dengan pemain berkualiti tinggi. Tapi sebagai pemain bola sepak, saya tidak akan putus ada dan cuba sebaik mungkin untuk membolosi gawang goalkeeper JDT.
"Ini adalah satu peluang untuk mereka dan saya sendiri dan saya yakin mereka pun akan memberi dan menggunakan peluang yang ada sebaik mungkin untuk masa depan mereka," katanya dalam temu bual bersama Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).
Menjelang perlawanan tersebut juga, Harith Akif tidak berselindung apabila teruja untuk beraksi menentang idolanya dalam bola sepak Malaysia iaitu penyerang Argentina, Fernando Forestieri.
Forestieri kini mencatat 15 jaringan gol dari 15 perlawanan Liga Super musim ini. — Facebook/JDT
"Pemain yang saya geruni semestinya idola saya Forestieri. Dribbling dia memang bahaya, selepas itu shooting dia selalu on target. Itu yang saya rasa kami perlu awasi.
"Mental dan pemain masih kuat dan stabil. Apa yang lepas ditutup dan buka buku baharu. Baru-baru lawan Penang pun kami dah tunjuk, kami comeback. Untuk game JDT ini, saya yakin pemain akan beri terbaik," ujarnya.
Dalam pada itu, Alfredo Vera percaya pemainnya akan bersedia untuk perlawanan menghadapi situasi getir malam ini, selepas TRW bakal melayan kunjungan JDT di laman sendiri iaitu Stadium Sultan Muhammad ke-IV dalam aksi Liga Super 2023. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram