Pan-gon perlu kembali nilai pemain HM mana layak turun '1st eleven' — Rajagobal


  • Podium
  • Rabu, 27 Mac 2024

Rajagobal mahu Pan-gon melakukan penilaian terhadap pasukannya dalam merebut kedudukan dua teratas kumpulan. — Agensi

JALAN berliku perlu ditempuhi skuad kebangsaan dalam kempen Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 setelah mengalami dua kekalahan kepada Oman.

Mereka yang kini berada di tangga ketiga Kumpulan D perlu meraih keputusan positif dalam dua baki perlawanan jika mahu melayakkan diri ke peringkat seterusnya.

Namun, berdasarkan kekalahan berturut-turut kepada Oman, tugasan berat menanti Harimau Malaya dalam misi menempah tiket ke Piala Asia dan Piala Dunia.

Malah, pengendali pasukan, Kim Pan-gon juga seakan-akan runsing akan persembahan anak-anak buahnya yang tidak memberikan aksi terbaik pada Selasa.

BACA LAGI: 'Keadaan padang bunuh rentak', Harimau Malaya tempang, janggal di gelanggang sendiri

434216948_1119535375786364_5294837161253105624_n

Pan-gon pasti akan mencari penyelesaian atas prestasi tidak menentu Harimau Malaya. — Facebook/FAM

Jadi, perubahan terbaik perlu dilakukan menjelang aksi kelima peringkat kumpulan menentang Kyrgyzstan pada 6 Jun di tempat lawan.

Pendekatan terbabit juga disokong bekas ketua jurulatih, Datuk K Rajagobal yang tidak mahu keputusan dan persembahan pemain negara yang kurang memberangsangkan berulang.

"Jurulatih yang perlu menilai siapa pemain yang patut diturunkan dalam kesebelasan utama dan kadang-kala perkara ini terjadi kerana perlu mengambil risiko dalam meletakkan barisan pemain.

"Kita perlu fikir semula adakah dia berada di landasan yang tepat dengan keputusan-keputusan yang diraih dalam beberapa perlawanan sebelum ini," katanya.

BACA LAGI: [VIDEO] Kepala berbalut hingga risiko ACL, 3 pemain JDT jadi 'korban' kekalahan Harimau Malaya

Malaysia-juara-Piala-AFF-Suzuki-2010

Rajagobal membantu Harimau Malaya mencatat sejarah menjulang Piala AFF 2010.

Selepas empat perlawanan, pasukan negara kini dibezakan tiga mata berbanding Kyrgyzstan dan Oman dengan peluang masih terbuka untuk kekal di kelompok dua pasukan teratas.

Bagaimanapun, dua aksi akhir boleh jadi penentu dengan kekalahan akan memaksa Harimau Malaya melupakan hasrat melayakkan diri ke Piala Dunia akan datang.

Rajagobal sebelum ini merupakan pengendali cukup berpengaruh dalam arena bola sepak tempatan selepas membantu skuad kebangsaan menjuarai Piala AFF 2010.

Kini, dia tidak lagi mengendalikan mana-mana kelab mahupun negara dengan kali terakhir dia bergiat aktif dalam dunia kejurulatihan adalah bersama Brunei pada 2022. — Stadium Astro

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram