MALAYSIA gagal memanfaatkan peluang beraksi di laman sendiri apabila tewas 0-2 kepada Oman dalam aksi Kumpulan D Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Kuala Lumpur pada Selasa.
Bukan sahaja kecewa dengan kekalahan tersebut, malah pemain pertahanan negara, Azam Azmi Murad mengalami kecederaan ketika ingin merebut bola dari salah seorang pemain Oman sehingga menyebabkan kaki kirinya terseliuh dan terpaksa diusung keluar seawal minit ke-25.
Susulan kecederaan berkenaan, ramai penyokong meluahkan kebimbangan jika Azam Azmi berisiko terkena anterior cruciate ligament (ACL) dengan ada juga yang menyalahkan keadaan padang menjadi punca kecederaan.
Sebelum ini, bek kanan skuad kebangsaan itu pernah mengalami kecederaan yang sama pada musim lalu dan khidmatnya terpaksa dilupakan oleh Harimau Malaya ketika itu.
Dalam pada itu, dengan risiko kecederaan ACL ketika ini, penghijrahan Azam Azmi ke kelab Johor Darul Ta'zim (JDT) seakan-akan menutup peluangnya untuk beraksi dengan baik, apatah lagi merebut tempat dalam kesebelasan utama skuad elit itu.
Pembelian Azam Azmi ke kelab yang berpangkalan di Selatan itu dilihat kurang berbaloi dengan dia sekarang mengalami kecederaan yang akan merencatkan karier bola sepaknya.
Dalam pada itu, berikut Majoriti menyenaraikan pro kontra sama ada pembelian Azam Azmi ke JDT berbaloi atau tidak?
BACA LAGI: 'Tak payah melompat-lompat, cari cheap publicity', TMJ nasihat Arif Aiman lepas menang MVP
Azam Azmi mengalami kecederaan ketika berdepan Oman di SNBJ pada Selasa. — Facebook/FAM
Berbaloi
1. Usia muda
Azam Azmi merupakan pemain muda tanah air yang semakin berada di kelasnya sendiri.
Setiap pasukan Liga Malaysia (Liga M) pastinya menginginkan pemain muda untuk membantu kelab masing-masing.
Dengan umur yang muda sekarang, Azam Azmi mempunyai peluang untuk lebih menyinar bila mana ketika ini saja, dia menjadi antara pemain yang banyak dipanggil mewakili skuad kebangsaan di peringkat senior dan pasukan B-23.
Pastinya pembelian Azam Azmi ke JDT dianggap berbaloi kerana dia boleh memberikan cabaran kepada pertahanan Harimau Selatan iaitu Matthew Davies seperti mana Afiq Fazail memberikan saingan kepada Natxo Insa.
Tentunya, umurnya yang baru sahaja 23 tahun boleh dikategorikan sebagai pemain muda dengan ia adalah peluang yang perlu digunakan jika mahu menjadi pemain profesional.
2. Pemenang ABK23
Selepas diumumkan sebagai pemain Pertahanan Terbaik bagi Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) untuk tahun 2023, pastinya semangat Azam semakin berkobar-kobar dalam kancah bola sepak.
Ia kerana anugerah itu pastinya memberi suntikan semangat kepada pemain berketinggian 1.74 meter itu untuk meraih lebih banyak minit permainan.
Beraksi bersama Terengganu FC, Azam merupakan pemain ketiga di Terengganu FC yang mencatat minit permainan terbanyak iaitu sebanyak 1,842 minit.
Malah, Azam juga berjaya mencatat sebanyak 21 penampilan dan menjadi antara tonggak penting Sang Penyu di posisi pertahanan dalam saingan Piala AFC 2023.
Tentunya dengan rekod cukup baik yang ditunjukkan Azam, dia dianggap antara pemain yang berbaloi ke JDT.
Kecederaan tersebut pastinya akan menjejaskan minit permainan Azam Azmi (kiri). — Facebook/FAM
BACA LAGI: Safee Sali setuju selesai masalah rumah tangga dengan bekas isteri di luar mahkamah
Tak Berbaloi
1. Kecederaan boleh berulang
Azam Azmi yang sebelum ini pernah mengalami kecederaan sama dijangka berpeluang untuk menghadapinya pada masa akan datang.
Zaquan Adha Abdul Razak antara pemain skuad kebangsaan yang pernah menghadapi ACL sebanyak lima kali.
Berikutan kecederaan tersebut, Zaquan terpaksa direhatkan daripada bermain buat satu tempoh agak panjang.
Contoh lain ialah Syamer Kutty yang berehat kira-kira 8 bulan kerana kecederaan di lutut. Sehingga kini, Syamer masih belum mendapat prestasi terbaiknya.
Dalam pada itu, pembelian Azam Azmi dijangka tidak berbaloi kerana JDT perlu menunggu lagi masa untuk melihat pemain berkenaan pulih dan beraksi di atas padang.
2. Kurang pengalaman di Asia
Jika melihat kepada rekod sebelum ini, Azam Azmi hanya beraksi sebanyak tiga perlawanan di pentas Asia dalam membantu Terengganu FC dalam saingan Piala AFC 2023.
Di samping itu, dia juga pernah membantu skuad Harimau Muda dengan mempunyai tiga penampilan ketika beraksi dalam kelayakan Piala Dunia AFC Bawah 23 Tahun.
Meskipun begitu, dengan pengalamannya yang kurang di pentas Asia pastinya akan merencatkan corak permainannya dengan kecederaan yang dialami.
Bukan itu sahaja, peluangnya untuk beraksi bersama JDT juga dilihat mungkin sedikit malap kerana dia perlu bersaing dengan tonggak Harimau Selatan yang tentunya mementingkan kualiti seperti mottonya 'survival of the fittest'. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram