[VIDEO] Tak tahan tengok pasukan dibelasah Portugal, jurulatih Luxembourg tinggalkan perlawanan sebelum tamat


  • Podium
  • Selasa, 12 Sep 2023

Jurulatih Luxembourg sudah tidak tahan lagi melihat pasukannya dibelasah teruk oleh Portugal.

ADAT resam sebagai seorang jurulatih, pastinya akan mengalami detik sukar apabila mengendalikan sesebuah pasukan. Salah satu detik itu adalah ketika mengalami kekalahan.

Kekalahan itu sememangnya perit, lebih menyakitkan jika ia berlaku sewaktu perlawanan penting yang menentukan untung rugi pasukan atau semasa aksi final sesebuah kejohanan.

Tetapi bagaimana pula seandainya tewas dengan jaringan besar? Itu juga satu perkara yang amat memeritkan untuk ditelan bagi seorang jurulatih.

Kalah dengan empat atau lima gol pun sudah cukup sakit, bagaimana kalau lebih daripada itu? Rasa macam nak balik rumah dan terus tidur saja.

Itulah yang dirasai oleh jurulatih Luxembourg yang tak tahan melihat pasukannya dibelasah teruk sewaktu aksi kelayakan EURO 2024 menentang Portugal.

Pengendali Luxembourg, Luc Holtz tidak dapat melihat pasukannya dibelasah begitu teruk oleh Portugal hinggakan dia memilih untuk rage quit dan tidak bersama skuadnya hingga wisel penamat.

Berbaki 10 minit lagi perlawanan, Holtz telah memilih untuk masuk ke dalam bilik persalinan kerana terlalu kecewa dengan persembahan pasukannya yang ketika itu telah dibolosi lapan gol.

Pemergian Holtz menuju ke bilik persalinan itu tidak dapat menghalang Luxembourg daripada terus dibolosi. Selepas melepaskan gol kelapan, Portugal menambah satu lagi jaringan pada minit ke-88.

Persembahan cemerlang Portugal di laman sendiri itu terhasil menerusi penyudah tajam Ricardo Horta, Bruno Fernandes, Joao Felix sambil Diogo Jota, Goncalo Inacio dan Goncalo Ramos masing-masing menyumbang dua gol.

Persembahan Portugal yang cukup klinikal itu meletakkan mereka selesa mendahului kumpulan J dalam kelayakan EURO 2024 apabila menang semua enam perlawanan setakat ini.

Sementara bagi Luxembourg masih lagi berpeluang untuk ke kejohanan yang akan diadakan di Jerman itu kerana hanya tiga mata saja di belakang pasukan tangga kedua iaitu Slovakia. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram