Prestasi tak menentu, ranking Harimau Malaya kini sudah dipintas Sang Garuda


  • Podium
  • Rabu, 27 Mac 2024

Indonesia mencatatkan kemenangan bergaya ke atas Vietnam dalam aksi keempat kempen Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027. — Agensi

SATU lagi keputusan mengecewakan dialami Harimau Malaya pada Selasa apabila mereka tewas kepada Oman dalam kempen Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.

Kekalahan 0-2 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur itu menyaksikan skuad kebangsaan kini berada di tangga ketiga selepas empat perlawanan.

Keputusan itu pasti akan menyukarkan hasrat negara untuk mara ke peringkat seterusnya dengan tiga mata membezakan mereka berbanding kelompok dua teratas.

Malah, ia turut membuatkan kedudukan Harimau Malaya dalam ranking FIFA semakin terjejas berikutan prestasi tidak menentu mereka sejak Piala Asia.

BACA LAGI: Mula keluar zon selesa, pakar saran Harimau Malaya cipta budaya 'winning habit'

WhatsApp Image 2024-03-27 at 16.13.42

Kemas kini semasa menyaksikan Harimau Malaya kini berada di bawah Indonesia dalam ranking FIFA.

Empat kekalahan dan satu keputusan seri dalam lima perlawanan terakhir memberi kesan negatif tersebut dengan skuad kebangsaan kini berada di tangga ke-137 setelah jatuh lima akan tangga.

Lebih mendukacitakan lagi, kemas kini menyaksikan seteru utama negara di pentas antarabangsa, Indonesia kini sudah memintas Harimau Malaya.

Ini berikutan kemenangan 3-0 yang diraih ketika bertemu Vietnam pada Selasa dengan anak-anak buah Shin Tae-yong menampilkan aksi terbaik di tempat lawan.

Mereka yang sebelum ini jauh ketinggalan mencatatkan peningkatan bergaya dengan keputusan positif yang membolehkan pasukan itu mendaki sembilan anak tangga.

BACA LAGI: Bukan sahaja diraikan penyokong, 'comeback' epik Harimau Malaya turut diakui FIFA

whatsapp-image-2021-12-19-at-13-20211219011444

Harimau Malaya dan Sang Garuda merupakan dua seteru di pentas antarabangsa. Agensi

Berdasarkan rekod, skuad Sang Garuda kini berada di tangga ke-133 yang menyaksikan mereka dua tangga lebih baik berbanding Harimau Malaya.

Jadi, ia pasti akan diraikan penyokong Indonesia yang sering meletakkan pasukan negara sebagai penanda aras dalam kejayaan masing-masing.

Selepas ini, Harimau Malaya bakal berdepan Kyrgyzstan dalam kempen kelayakan pada 6 Jun di tempat lawan dengan misi wajib untuk meraih tiga mata penting.

Bagi Indonesia pula, mereka kini berada di tangga kedua Kumpulan F dengan peluang cerah bagi mereka mara ke pusingan seterusnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram