Bukan sahaja diraikan penyokong, 'comeback' epik Harimau Malaya turut diakui FIFA


  • Podium
  • Sabtu, 18 Nov 2023

Harimau Malaya berjaya membawa pulang tiga mata berharga dalam kempen Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027. — Facebook/FAM

PERSEMBAHAN cukup mendebarkan dipamerkan kedua-dua pasukan ketika Harimau Malaya berdepan Krygyzstan dalam aksi pembukaan Kumpulan D Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 Khamis lalu.

Jaringan Dion Cools seawal minit keenam permainan meletakkan pasukan negara di hadapan sebelum pihak lawan mengikat kedudukan menerusi Kayrat Zhyrgalbek.

Negara di kedudukan ke-97 dunia itu sekali lagi menggegarkan gawang negara tidak lama selepas itu apabila bekas penyerang Kelantan United, Ernist Batyrkanov mudah melepasi benteng pertahanan Harimau Malaya.

Kegembiraan buat Kyrgyzstan diteruskan pada babak kedua apabila Kai Merk bijak menyudahkan peluang dengan pemain kebangsaan gagal mengawal keadaan pada minit ke-57.

Kedudukan berkenaan seakan-akan memberi gambaran bahawa pasukan negara terpaksa pulang dengan tangan kosong dalam perlawanan pertama mereka.

400598965_1045383653201537_393136179363976994_n

Penyokong Harimau Malaya pastinya tidak dapat melupakan persembahan sengit dalam aksi negara Khamis lalu. Facebook/FAM

Namun, kekecewaan itu lantas dipadam apabila anak-anak buah Kim Pan-gon segera bangkit menerusi jaringan sendiri bek tengah pasukan pelawat, Christian Brauzman.

Dion Cools kemudiannya sekali lagi bangkit menempa nama dalam senarai penjaring apabila dia tenang menanduk masuk hantaran Arif Aiman Hanapi daripada sepakan penjuru.

Kehangatan perlawanan terbabit tidak terhenti di situ apabila pada masa kecederaan, pemain sayap negara, Faisal Halim bijak menyudahkan peluang dengan mengatasi penjaga gol lawan, Kutman Kadyrbekov.

Keputusan 4-3 itu kekal sehingga wisel penamat, sekali gus memastikan tiga mata sah milik Harimau Malaya dalam aksi pembukaan kempen kelayakan.

Perlawanan tersebut pastinya sukar diterima rata-rata peminat Harimau Malaya yang menganggapnya sebagai satu aksi cukup mendebarkan.

WhatsApp Image 2023-11-18 at 11.14.54

Hantaran di laman media sosial rasmi FIFA mengakui debaran aksi antara Harimau Malaya dan Kyrgyzstan.

Malah, perasaan berkenaan turut dirasai di peringkat FIFA apabila laman Twitter rasmi mereka mengakui pertemuan tersebut cukup mendebarkan.

Selain mengulang ciap hantaran rasmi FAM dengan mengakui debaran perlawanan, badan induk bola sepak global itu turut mengagumi semangat Harimau Malaya.

"Malaysia melakukan satu kebangkitan cukup sempurna dalam aksi pembukaan Piala Dunia 2026 mereka," ciapnya sambil menyertakan keputusan akhir 4-3 daripada aksi terbabit.

Hantaran berkenaan boleh dianggap sebagai satu bentuk penghargaan tertinggi apabila ia sekali gus mengangkat reputasi bola sepak tanah air.

Kemenangan terbabit menyaksikan pasukan negara kini berada di kedudukan kedua Kumpulan D dengan tangga teratas kini diduduki Oman yang mencatatkan kemenangan 3-0 ke atas Chinese Taipei.

Selepas ini, skuad kendalian Pan-gon bakal berdepan Chinese Taipei pada Selasa di Stadium Perbandaran Taiwan dalam misi meneruskan rentak cemerlang mereka. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram