HARIMAU Malaya mencuri tumpuan ramai penyokong di Malaysia selepas berhasil mendapatkan dua keputusan positif dalam aksi persahabatan menentang Syria dan China.
Seri 2-2 bertemu Syria disusuli pula dengan keputusan 1-1 menentang China, rata-rata penyokong semakin yakin dengan skuad kendalian Kim Pan-gon yang berjaya mengelak daripada kalah.
Apa yang berjaya diraih di China bukanlah sekadar positif dari segi keputusan, tetapi juga melibatkan ketahanan mental pemain Harimau Malaya.
Menurut penganalisis bola sepak, Prof Madya Dr Zulakbal Karim, skuad Harimau Malaya telah lulus ujian pertama dari sudut ketahanan mental apabila menentang pasukan yang jauh lebih baik daripada mereka.
Sebelum ini, Zulakbal pernah berkata kepada Majoriti yang perlawanan menentang Syria dan China bukan sahaja akan menguji keberkesanan taktikal Pan-gon, malah ia juga mengukur kekuatan psikologi para pemain.
"Saya boleh katakan yang para pemain telah lulus ujian pertama dari segi psikologi apabila bertemu dengan pasukan yang jauh lebih baik daripada mereka.
"Persembahan yang ditonjolkan nampak teguh di setiap posisi. Namun, ini adalah prapermulaan bukannya permulaan pun untuk Malaysia. Senang kata, kita masih lagi dalam fasa baby step dalam membina kekuatan mental bertemu pasukan lebih handal," kata Zulakbal kepada Majoriti.
Dion Cools memimpin skuad Malaysia ketika bertemu China. — Facebook/FAM
Tambah Zulakbal lagi, Pan-gon perlu mencipta satu budaya yang dipanggil sebagai winning habit dalam Harimau Malaya terutamanya apabila berdepan pasukan lebih baik daripada mereka.
Jika itu berjaya dicipta, Harimau Malaya akan menjadi pasukan lebih teguh dan bersedia untuk berdepan jagoan-jagoan Asia di Qatar pada Januari 2024.
Zulakbal juga berpendapat, kepentingan aksi Pestabola Merdeka pada Oktober ini untuk menguatkan lagi tahap mental pemain Harimau Malaya.
Dalam erti kata lain, Pestabola Merdeka akan menjadi ujian mental tahap kedua buat skuad Malaysia kerana mereka sekali lagi akan berdepan pasukan-pasukan yang akan menyertai Piala Asia 2023 iaitu India, Palestin dan Tajikistan.
Tugasan seterusnya untuk Malaysia adalah Pestabola Merdeka 2023. — Facebook/FAM
"Pestabola Merdeka ini akan menjadi ujian kedua bagi Harimau Malaya dalam misi menguatkan mental para pemain. Ia adalah satu peluang yang baik untuk menguji kekuatan psikologi mereka selepas berjaya di China.
"Namun begitu, Pan-gon harus bekerja keras dalam menguatkan psikologi pasukannya kerana ketika itu masa sudah suntuk, jadi tekanan pastinya akan meningkat dalam kalangan pemain," ujar Zulakbal.
Setakat ini, segalanya tampak baik dalam skuad Malaysia dan Zulakbal percaya Pan-gon hanya perlu upgrade setiap aspek bagi menjadikan Harimau Malaya lebih kompetitif.
Jika setiap aspek berjaya ditingkatkan kualitinya, nescaya saingan sengit boleh diberikan oleh Harimau Malaya di Qatar pada Januari 2024 kelak. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram