‘Hanya stadium SSI tak berlopak, mentaliti bodoh sombong’, TMJ respons isu padang SNBJ


  • Podium
  • Isnin, 25 Mac 2024

Tangkap layar memaparkan keadaan sebenar Stadium Nasional Bukit Jalil yang tular sebelum ini. — YouTube/mingway

MENJELANG aksi kedua Malaysia berdepan Oman dalam saingan Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 pada Selasa, keadaan padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Kuala Lumpur mengecewakan penyokong bola sepak tanah air.

Ia berikutan selepas sekeping gambar diperoleh daripada rakaman dron di atas stadium terbabit yang dimuat naik di laman YouTube mingway pada 12 Mac tular di media sosial.

Venue yang digunakan bagi penganjuran konsert Ed Sheeran pada Februari lalu difahamkan masih belum berada di tahap terbaik menjelang aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 berdepan Oman Selasa ini.

Keadaan padang SNBJ berkenaan mendapat perhatian daripada beberapa pihak antaranya pengguna akaun, Ohmedia Plus yang membandingkan gelanggang keramat Harimau Malaya itu dengan Stadium Rajamangala di Thailand.

WhatsApp Image 2024-03-25 at 08.49.41 (1)

Kata-kata TMJ mengenai stadium SNBJ. — Instagram/TMJ

"Beza betul SNBJ dengan Stadium Rajamangala bila hujan," tulisnya di Facebook.

Susulan isu berkenaan, pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim tampil memberi respons hantaran berkenaan menerusi Instastory peribadinya.

"Bukan SNBJ sahaja. Semua stadium dalam negara sama padang berlopak apabila hujan, yang tak berlopak hanya Stadium Sultan Ibrahim (SSI) di Johor, itu adalah fakta.

"Cowgrass mempunyai tanah liat bercampur dengan tanah gambut, itu membuat air susah nak resap.

"Kita juga satu-satunya negara dalam South East Asia yang masih sanjung rumput lembu/cowgrass," kata TMJ menerusi Instagram miliknya.

Kata TMJ, adalah penting untuk mengubah mentaliti agar Liga Malaysia (Liga M) tidak akan ketinggalan dari segi infrastruktur sekali gus dapat menghasilkan liga yang berkualiti.

"Facilities dan infra bola sepak teruk, mentality bodoh sombong, cepat puas hati, selesa, tak boleh terima fakta dan sentiasa ada alasan yang akan jatuhkan standard liga kita.

"Thailand dah atas kita, Indonesia atas kita kita dalam segi infra dan kalau mentality kita tak berubah, liga lain macam Vietnam, Philippines dan Cambodia akan pintas kita dalam segi infra bola sepak yang akan memain peranan penting dalam melahirkan quality and standard liga. Good Luck," tegas TMJ. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram