Belum ada perbincangan jadi tuan rumah Sukan Asia 2038 — Adam Adli


  • Podium
  • Selasa, 26 Mac 2024

Bagi Adam Adli, keperluan untuk menjadi tuan rumah Sukan Asia 2038 perlu dikaji semula.— Instagram/AdamAdli

TIMBALAN Menteri Belia dan Sukan (KBS), Adam Adli Abdul Halim menjelaskan bahawa setakat ini belum ada sebarang perbincangan di peringkat kementerian berhubung cadangan untuk Malaysia menawarkan diri menjadi tuan rumah Sukan Asia 2038.

Adam Adli berkata, memandangkan penganjuran temasya itu masih jauh, ia mungkin perlu dikaji semula terlebih dahulu memandangkan Wawasan Sukan Negara hanya sehingga 2030.

“Dalam perancangan, kita bukan sahaja memerlukan niat malah perlu mengambil kira kos dan impak ekonomi kepada negara sebagai tuan rumah, selain melihat kepada tahap pembangunan atlet. Kita tidak boleh begitu sahaja mengatakan mahu menjadi tuan rumah.

“Kita lebih fokus kepada kebajikan dan kesejahteraan rakyat serta pembangunan atlet khususnya di peringkat akar umbi selain berhati-hati memandangkan kementerian masih mempunyai peruntukan terhad.

“Kita bergantung kepada pembiayaan daripada kerajaan berbanding pelaburan yang dibuat oleh sektor lain,” katanya ketika menggulung perbahasan titah ucapan diraja KBS di Dewan Negara pada Selasa.

BACA LAGI: Kalau menang memang wonderful, teruja nak tengok status padang — Pan-gon

KUALA LUMPUR, 26 Mac -- Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abdul Halim ketika sesi menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja pada Persidangan Dewan Negara di Bangunan Parlimen hari ini.--fotoBERNAMA (2024) HAK CIPTA TERPELIHARA

Adam Adli ketika menggulung perbahasan titah ucapan diraja KBS di Dewan Negara pada Selasa. — Agensi

BACA LAGI: Umum sasaran piala, pewaris jersi nombor 7 antara topik bakal dikupas Tan Sri Daud Bakar kepada fans Kedah

Beliau berkata, KBS mewujudkan Program Khas Fast Track Road To Gold dengan peruntukan sebanyak RM1.15 juta bagi persediaan dan persiapan atlet untuk sukan akuatik-terjun dan skuasy ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028.

“Atlet dalam program ini akan dibekalkan kemudahan yang mencukupi dari segi keperluan, kebajikan dan pendedahan pada pertandingan tempatan dan antarabangsa,” katanya.

Adam Adli turut menegaskan status perkahwinan sama sekali tidak menjadi faktor penghalang potensi dan kemajuan atlet.

“Jika masih ingat, ketika Sukan Olimpik 2012 di London, penembak Nur Suryani Mohamed Taibi bersemangat mewakili negara walaupun ketika itu sedang hamil. Ini membuktikan status perkahwinan tidak pernah menjadi penghalang untuk atlet mencapai kejayaan ke membanggakan Malaysia.

“Mengenai penglibatan dan kebergantungan kepada atlet senior berusia lebih 30 tahun, pada masa ini hanya terdapat tiga penerjun berusia lebih 30 tahun disenaraikan di bawah program latihan Majlis Sukan Negara.

“Mereka ialah Datuk Pandelela Rinong Pamg, Wendy Ng Yan Yee dan Ooi Tze Liang,” katanya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram