Kalau menang memang wonderful, teruja nak tengok status padang — Pan-gon


  • Podium
  • Isnin, 25 Mac 2024

Pan-gon berharap keadaan padang berada dalam keadaan terbaik bagi mengharungi aksi getir menentang Oman. — Facebook/FAM

AKSI kedua menentang Oman bagi perlawanan Kumpulan D, Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Selasa perlu menjadi medan terbaik untuk mendapatkan sekurang-kurangnya satu mata.

Perlawanan pertama di Kompleks Sukan Sultan Qaboos, Muscat, Oman pada Jumaat lalu menyaksikan Malaysia merekodkan kekalahan 0-2 di tangan pasukan kendalian Jaroslav Silhavy.

Kekalahan itu meletakkan Harimau Malaya di tangga ketiga Kumpulan D selepas tiga perlawanan dengan hanya perbezaan jaringan memisahkan tiga pasukan teratas.

Oleh itu, kelebihan beraksi di laman sendiri dan disokong dengan kehadiran penyokong tanah air, pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon berharap dapat menggunakan sebaiknya kelebihan yang ada untuk perlawanan kedua menentang Oman pada Selasa ini.

BACA LAGI: Padang SNBJ tidak bersedia, tidak baik untuk perlawanan esok — Jurulatih Oman

WhatsApp Image 2024-03-25 at 14.22.10

Pan-gon (kiri) dan Cools (kanan) ditemui pada sidang media Pra-Perlawanan bagi Kumpulan D. — Facebook/FAM

“Kami fokus untuk membuat pemulihan fizikal dan betulkan kesalahan daripada perlawanan lalu. Semua tahu perlawanan esok sangat penting dan mahu menggunakan sepenuhnya kelebihan beraksi di laman sendiri. Kami mahu berjuang untuk memberikan persembahan dan keputusan terbaik.

“Sekiranya kita berjaya mencuri satu mata amat bagus menentang pasukan ke-80 dunia, tiga mata pastinya wonderful. Pada akhirnya, kita mahu mendapatkan mata menentang Oman,” katanya kepada media pada Isnin.

Pan-gon dan kapten pasukan kebangsaan, Dion Cools ditemui pada sidang media Pra-Perlawanan bagi Kumpulan D di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Kelana Jaya, Petaling Jaya, Selangor.

Dalam pada itu, bercakap mengenai keadaan padang di SNBJ, Pan-gon memaklumkan belum melihat keadaan padang di SNBJ namun berharap ia berada dalam keadaan terbaik bagi mengharungi aksi getir menentang Oman.

BACA LAGI: 'Mana ada ofsaid?', keputusan kontroversi buat Harimau Malaya kempunan di Oman

WhatsApp Image 2024-03-25 at 12.45.57

Tangkap layar memaparkan keadaan sebenar Stadium Nasional Bukit Jalil yang tular sebelum ini. — YouTube/mingway

"Mengenai padang (SNBJ), saya belum lihat lagi. Mereka janji akan bagi padang yang terbaik pada hari perlawanan. Jadi saya teruja untuk saksikan keadaan padang esok (Selasa),” tambahnya.

Terdahulu, keadaan semasa padang di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur (KL) baru-baru ini sekali lagi mengecewakan penyokong bola sepak tanah air selepas sekeping gambar diperolehi daripada rakaman dron di atas stadium terbabit yang dimuat naik di laman YouTube mingway pada 12 Mac.

Venue yang digunakan bagi penganjuran konsert Ed Sheeran pada Februari lalu masih belum berada di tahap terbaik menjelang aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 berdepan Oman Selasa ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram