MASA depan kelab Liga Super, Kedah Darul Aman FC dilihat masih belum menampakkan tanda-tanda mereka menuju ke arah yang lebih positif.
Dengan isu kewangan belum lagi berakhir, penyokong pastinya tertanya-tanya, apakah tindakan pengurusan bagi memastikan kelab terus bersaing?
Oleh kerana itu, pemilik kelab, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar mengambil tindakan untuk mengadakan sidang media pada Isnin untuk memberikan kemas kini terkini mengenai keadaan Sang Kenari.
Apakah yang bakal dikupas oleh Daud dalam sidang media tersebut? Majoriti meneroka tiga perkara mungkin dibualkan oleh pemilik Kedah tersebut:
1. Situasi semasa dan sasaran kelab
Dua perkara ini adalah tajuk utama yang pastinya akan dikupas oleh Daud ketika sidang media tersebut. Dengan masalah kewangan sedang melanda Kedah, sudah pasti penyokong Kedah mahukan kebenaran dalam hal berkaitan kantung kelab.
Pada waktu inilah, Daud seharusnya berterus terang kepada semua mengenai kewangan kelab sambil menceritakan langkah yang seterusnya bagi memastikan Kedah terus 'bernyawa'. Pada waktu ini, penyokong mahukan penyelesaian sekali gus mengelakkan Sang Kenari daripada potensi dipotong mata.
BACA LAGI: ‘Senjata anda adalah pengetahuan’, TMJ ingatkan sejarah akan hanya kenang sang juara
Selain itu, Daud juga boleh mengumumkan kepada semua mengenai sasaran Kedah pada musim ini dari segi prestasi dalam padang. Adakah mereka akan ingin capai rekod musim lalu dengan menduduki kedudukan empat terbaik? Atau slot Asia menjadi sasaran?
Diharap Daud tidak menggunakan ayat tipikal "kami sasarkan sekurang-kurangnya satu piala musim ini" sudahlah.
2. Ajak penyokong bantu kelab
Selepas mengumumkan kempen Keep The Hope Alive, sidang media oleh Daud dijangka akan menyaksikan pengumuman lanjutan mengenai program berkaitan penyokong.
Berkemungkinan, Daud akan mengumumkan satu lagi program yang dimana penyokong boleh membantu tahap kewangan kelab bagi memastikan Kedah terus hidup dan tidak dihimpit masalah tersebut.
Program keahlian Kepak Kenari yang diperkenalkan pada musim lepas mungkin akan ditambah baik untuk edisi 2024/2025 bagi menarik perhatian para lebih ramai penyokong. Pada waktu inilah, Daud boleh menyeru kepada para penyokong Kedah untuk memperbaharu keahalian Kepak Kenari mereka.
Selain itu, Daud juga berpotensi untuk mengumumkan lanjutan kempen Keep The Hope Alive. Selepas melakukan jualan baju, mungkin ada inisiatif lain diperkenalkan kelab untuk mengajak penyokong membantu membaiki kewangan Sang Kenari.
BACA LAGI: Habib Haroon sudah touchdown di Alor Setar? Senarai skuad Kedah hampir lengkap
3. Pengganti jersi nombor 7
Ia mungkin tidak berkaitan dengan perancangan dan situasi kewangan kelab, tetapi mungkin perkara ini turut dikupas mengenai siapakah pewaris jersi keramat itu.
Hingga kini, masih tiada pewaris bagi jersi nombor 7 di Kedah yang sebelum ini disarung oleh legenda Baddrol Bakhtiar.
Baddrol (kanan) merupakan legenda bola sepak Kedah. — KDA FC
Adakah musim ini akan menyaksikan pemilik baharu bagi jersi tersebut? Jika ya, adakah ia akan dimiliki oleh bintang import atau anak jati Kedah bakal menyarung jersi itu?
Atau mungkin jersi tersebut bakal ditamatkan penggunaannya? Kita tunggu dan lihat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram