Habib Haroon sudah touchdown di Alor Setar? Senarai skuad Kedah hampir lengkap


  • Podium
  • Ahad, 24 Mac 2024

Kehadiran Habib Haroon ke Sang Kenari dijangka akan membantu jentera serangan pasukan berkenaan menjelang musim 2024. — Facebook/TFC

BARU-BARU ini, Kedah Darul Aman (KDA) FC dilaporkan berjaya mendapatkan pemain import yang mempunyai pengalaman luas dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) bagi menghadapi musim 2024/25.

Pemain import berkenaan ialah Sony Norde yang dijangka akan membantu jentera tengah dan serangan Sang Kenari.

Beraksi sebagai posisi tengah menyerang, kehadiran Norde dijangka berpotensi menambah kreativiti di bahagian serangan Sang Kenari untuk musim baru liga yang bermula pada Mei nanti.

Bukan sahaja Norde namun difahamkan skuad kendalian Nafuzi Zain itu bakal menerima seorang lagi bintang import yang juga merupakan bekas tonggak tengah Terengganu FC (TFC) iaitu Habib Haroon.

Difahamkan, usaha Sang Kenari untuk mendapatkan khidmat pemain tengah kelahiran Bahrain itu berjalan lancar selepas dia dipercayai sudah selamat tiba di bumi Kedah.

BACA LAGI: Sang Kenari umum senjata baharu, fans pula luah kerisauan

WhatsApp Image 2024-03-24 at 08.44.15

Tangkap layar memaparkan Habib Haroon sudah tiba di bumi Kedah. — Instagam/habibharoon30

BACA LAGI: Terdesak atau keperluan? Kehadiran Sony Norde bentuk gandingan 'double S'

Ia dianggap benar apabila terdapat sekeping foto dimuat naik di laman Instagram oleh @onyo60, memaparkan kelibat pemain berusia 23 tahun itu dikatakan berada di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Kepala Batas, Alor Setar, Kedah.

Sekiranya benar Habib sudah tiba di Kedah, ia sekali gus memberikan petunjuk bahawa skuad Sang Kenari ketika ini hampir lengkap selepas sah membawa masuk beberapa pemain tempatan dan import.

Pastinya keserasian antara Habib dan Norde yang pernah dibina di Terengganu dijangka akan membentuk gandingan hebat bersama Sang Kenari.

Meskipun begitu, belum ada sebarang pengumuman yang dilakukan oleh pihak pengurusan KDA FC mengenai ketibaan bekas import Sang Penyu itu.

Sebelum ini, Habib pernah menabur bakti bersama skuad kendalian Tomislav Steinbruckner di TFC namun memilih untuk meninggalkan kelab berkenaan bagi menimba lebih pengalaman dan peluang di tempat baharu.

Sepanjang beraksi bersama skuad Sang Penyu, pemain berketinggian 1.70 meter itu sudah mencatatkan tiga gol dan lima bantuan jaringan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram