KETUA jurulatih baharu Oman, Jaroslav Silhavy tanpa berselindung menyatakan bahawa keadaan padang di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Bukit Jalil, Kuala Lumpur belum bersedia untuk digunakan pada aksi Kumpulan D, Kelayakan Piala Dunia 2026 pada Selasa.
Isu padang di gelanggang Harimau Malaya yang tidak berada di tahap terbaik sebelum ini tular selepas rakaman dron di atas stadium terbabit yang dimuat naik di laman YouTube mingway pada 12 Mac tular di media sosial.
Keadaan padang itu bukan hanya menjadi kerisauan penyokong domestik, malah ketua jurulatih baharu skuad The Reds itu juga melahirkan kebimbangan yang sama dengan pemain ke-12 tanah air.
Silhavy berkata, setakat ini, skuad Oman belum berkesempatan untuk mengadakan sesi latihan di gelanggang Harimau Malaya dan ia sedikit merencatkan persediaan mereka sebelum perlawanan pada Selasa.
BACA LAGI: Skuad B-23 mudah tundukkan India bukti Arif Aiman boleh fokus perkuat Harimau Malaya
Tangkap layar memaparkan keadaan sebenar Stadium Nasional Bukit Jalil yang tular sebelum ini. — YouTube/mingway
“Malangnya kami diberitahu yang cuaca Malaysia sekarang banyak hujan. Kami percaya yang padang tidak akan bersedia untuk perlawanan dan tidak baik untuk perlawanan. Secara fizikal dan teknikalnya, pemain tidak sesuai untuk bermain di situ.
“Semalam (Ahad) pun kami diberitahu yang kami tidak akan berlatih di padang Bukit Jalil kerana keadaannya tidak bagus untuk latihan. Pasukan Malaysia juga tidak boleh berlatih di sana. Ia memang tak bagus untuk kedua-dua pihak,” katanya kepada media pada Isnin.
Silhavy dan penyerang Oman, Ali Al-Busaidi ditemui pada sidang media Pra-Perlawanan bagi Kumpulan D di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Kelana Jaya, Petaling Jaya, Selangor.
BACA LAGI: 'Mana ada ofsaid?', keputusan kontroversi buat Harimau Malaya kempunan di Oman
Silhavy (kiri) dan Al-Busaidi (kanan) ditemui pada sidang media Pra-Perlawanan bagi Kumpulan D. — Instagram/OmanFA
Dalam pada itu, Al-Busaidi menjelaskan sudah bersedia dengan segala cabaran seperti isu padang, sokongan padu daripada penyokong tuan rumah bagi memperoleh kemenangan kedua dalam perlawanan menentang Malaysia.
“Semestinya kami nak menang, kami nak jadi nombor satu dalam Kumpulan D. Kami nak buat itu. Insya ALLAH kami akan cuba menang walau apa pun keadaan.
“Kami akan ikut taktikal dan arahan jurulatih. Semestinya kami percaya Malaysia ada pemain yang bagus. Tapi kami pun ada pemain yang baik dan kami akan bekerjasama untuk itu,” jelasnya.
Kemenangan 2-0 di Muscat pada Jumaat menyaksikan Oman menghuni kedudukan pertama Kumpulan D berkongsi enam mata bersama Malaysia dan Krygyzstan, namun ketiga-tiga pasukan dipisahkan menerusi perbezaan jaringan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram