SRI Pahang FC difahamkan tidak akan beraksi di stadium keramat mereka, Stadium Darul Makmur musim depan kerana ia kini sedang dalam proses menambah baik.
Hal itu disuarakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kelab, Datuk Suffian Awang kerana rumput padang di 'rumah' skuad Tok Gajah akan digantikan bermula Mei akan datang.
Menurutnya, kelab Pantai Timur tersebut bakal menggunakan Stadium Temerloh yang dipilih memandangkan ia merupakan stadium kedua terbaik di negeri itu.
Pengumuman itu mencetuskan respons hangat dalam kalangan penyokong di media sosial yang beranggapan Sri Pahang FC sudah sedar akan keadaan semasa Stadium Darul Makmur.
Bagaimanapun, rata-rata daripada mereka berasakan Stadium Temerloh bukanlah venue terbaik buat skuad Tok Gajah melihat kepada lokasi dan jaraknya dari bandar-bandar utama di Pahang.
BACA LAGI: Ikut jejak langkah Faisal Halim, prospek Penang dapat rezeki ke Sri Pahang
Stadium Darul Makmur akan ditutup bagi memberi ruang untuk kerja-kerja menambah baik.
Malah, ada juga dalam kalangan peminat tegar mereka mencadangkan supaya Stadium Tun Abdul Razak atau lebih sinonim dengan nama Stadium Jengka dipilih.
"Saya harap Persatuan Bola Sepak Pahang boleh pilih supaya kelab ini beraksi di Stadium Jengka. Kawasan meletakkan kereta lebih luas dan terletak di antara Kuantan dan Temerloh.
"Tempoh perjalanan dari kedua-dua daerah itu hanya kira-kira satu jam sahaja," kata Bahrun Abdullah.
"Hidupkan semula Stadium Jengka lebih berbaloi rasanya. Boleh berbincang dengan pihak pengurusan Felda kerana ia boleh bantu tingkatkan ekonomi Jengka dan sekitarnya," kata Ikan Bilis.
"Lebih baik pilih Stadium Tun Abdul Razak, Jengka kerana lebih luas. Padang pun rasanya mengikut standard FIFA. Insya-ALLAH penonton akan hadir dengan ramai," kata Azharani Aziz.
BACA LAGI: Sense of belonging fans Selangor dipuji penyokong Sri Pahang
Stadium Temerloh mungkin dipilih sebagai venue baharu untuk aksi 'Home' Sri Pahang.
Sekiranya dibandingkan, Stadium Temerloh terletak kira-kira 139 kilomter (km) daripada Kuantan sementara jarak daerah itu dengan Stadium Jengka adalah 146 km.
Bagaimanapun, jarak Stadium Jengka dengan beberapa bandar lain seperti Jerantut dan Maran adalah lebih dekat, sekali gus memudahkan perjalanan penyokong.
Selain itu, kapasiti Stadium Jengka yang boleh memuatkan sehingga 25,000 penyokong menjadikannya venue lebih baik berbanding Stadium Temerloh (10,000 penyokong).
Sebelum ini, Stadium Jengka digunakan Felda United yang beraksi dalam Liga Super untuk beberapa musim sebelum ia dibubarkan pada 2020.
Ia kini masih digunakan dengan beberapa aksi bola sepak dianjurkan di stadium yang dibangunkan pada 2015 dengan kos pembinaan RM92 juta itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram