Ibarat reunion keluarga, Kedah kumpul legenda moden buat kepak Kenari sebak


  • Podium
  • Isnin, 25 Mac 2024

Hijau Kuning berjaya merangkul gelaran ‘double treble’ selama dua musim berturut-turut pada 2007 dan 2008.

KEDAH Darul Aman (KDA) FC dalam fasa penstrukturan semula dengan membawa masuk beberapa bekas pemain legenda skuad Hijau Kuning yang pernah memberi kejayaan ‘double treble’ sebelum ini.

Menurut kenyataan dikeluarkan oleh Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar selaku Pemilik Majoriti KDA FC, beberapa perubahan dibuat pasukan utama, skuad simpanan dan belia.

“Pihak pengurusan telah melakukan beberapa perubahan dalam struktur pengurusan pasukan Liga Super, pasukan Piala MFL (KDA FC B/ U23), pasukan Piala Presiden (KDA FC C/ U20) dan Piala Belia (KDA FC D/ U18) bagi memastikan selaras dengan hasrat kelab untuk bersaing mengikut perancangan kewangan kelab lebih lestari musim ini.

“Fokus pengurusan ketika ini adalah untuk membina kembali zaman kegemilangan bola sepak Hijau Kuning sewaktu zaman double treble musim 2007/2008 dengan asasnya memberi peluang kepada bekas-bekas generasi pemain waktu itu yang rata-rata menawarkan diri untuk berkhidmat dan membantu kelab,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Antara nama legenda moden yang diumumkan kembali menabur bakti bersama Kedah ialah bekas pemain tengah import, Nelson San Martin selaku Pengarah Teknikal Sang Kenari musim ini, Ahmad Fauzi Saari sebagai Koordinator Pasukan Liga Super.

BACA LAGI: ‘Senjata anda adalah pengetahuan’, TMJ ingatkan sejarah akan hanya kenang sang juara

WhatsApp Image 2024-03-25 at 20.58.59

Bekas-bekas pemain Kedah pada zaman juara berganda 2007 dan 2008 yang rata-rata menawarkan diri untuk berkhidmat dan membantu kelab pada musim ini.

BACA LAGI: Habib Haroon sudah touchdown di Alor Setar? Senarai skuad Kedah hampir lengkap

Selain itu, Helmi Eliza Elias dilantik sebagai Penolong Jurulatih Penjaga Gol, Baddrol Bakhtiar pula menyandang jawatan Pengurus Pasukan KDA FC B dan Shafizan Hashim sebagai Koordinator Pasukan KDA FC B.

Selain lima bekas pemain itu, Kedah juga masih mengekalkan khidmat Victor Andrag sebagai Penolong Ketua Jurulatih Pasukan Liga Super KDA, Penolong Jurulatih, Abd Hadi Abd Hamid, dan Nafuzi Zain kekal mengemudi pasukan Utara tanah air berkenaan.

Kesudian semua bekas pemain untuk menabur bakti demi KDA FC mengharukan penyokong dengan ketibaan mereka hadir ketika pasukan Hijau Kuning masih dalam proses melunaskan sebahagian tunggakan iaitu 50 peratus baki gaji pasukan musim 2023.

“Semua yang masuk bukan sebab wang ringgit tetapi sebab semangat nak bantu naikkan kembali kegemilangan pasukan Kedah,” kata penyokong Kedah, Mohd Yusrizal Mohamed Yusof.

“Masih macam tak percaya Azhar Khor Abdullah dah tiada, rasa macam arwah masih ada bersama. Al-Fatihah untuk arwah,” tambah penyokong KDA FC, Mohd Aminduddin

“Keluar air mata woi legenda semua,” tambah penyokong Hijau Kuning, Ayen Karo. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram