Sang Kenari umum senjata baharu, fans pula luah kerisauan


  • Podium
  • Jumaat, 22 Mac 2024

Sebahagian sesi latihan skuad Sang Kenari sebagai persiapan menghadapi saingan Liga Malaysia musim 2024. — Facebook/KDAFC

PADA Jumaat, Kedah Darul Aman (KDA) FC mengumumkan pemain tengah menyerang, Sony Norde sebagai senjata berbahaya baharu Sang Kenari bagi menghadapi musim 2024/25.

Perpindahan penyerang kelahiran Haiti itu diumumkan pengurusan Sang Kenari menerusi satu hantaran di media sosial rasmi Facebook, Kedah Darul Aman FC.

"KDA FC dengan bangga mengumumkan ketibaan Sony Norde, pemain berasal dari Haiti yang cukup dikenali di Liga Malaysia (Liga M) ketika bersama Melaka United FC dan Terengganu FC dengan gerakan lincah dan menghasilkan gol menakjubkan dengan rembatan padu menewaskan lawan.

"Pemain berusia 34 tahun memilih untuk berjuang di kem Sang Kenari musim 2024/25 walaupun unit pemantau pasukan telah menyatakan minat untuk mendapatkan khidmatnya sejak musim lepas.

"Kehadiran Sony bakal memperkuatkan jentera serangan pasukan Sang Kenari dengan rangkaian pemain berpengalaman terdiri daripada Syafiq Ahmad dan Sukhrob Nurulloev.

"Sony Norde akan tiba pukul 4.30 petang nanti di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Kepala Batas dan akan disambut oleh pengurusan kelab, pasukan dan Ketua Jurulatih bagi meraikan kedatangan ke bumi Jelapang Padi sebagai pemain Sang Kenari. Jom sama-sama kita berikan sambutan hangat buat Sony," tulisnya di Facebook.

BACA LAGI: Idea cari seri makan diri, Pan-gon akui level fitnes kurang tapi enggan jadikan alasan

WhatsApp Image 2024-03-22 at 11.24.25 (1)

KDA FC sah mengumumkan Sony Norde sebagai pemain baharu skuad tersebut bagi musim 2024/25. — Facebook/KDAFC

BACA LAGI: Zainal Abidin petik 2 pencabar JDT, enggan nilai kualiti import baharu Harimau Selatan terlalu awal

Kehadiran Norde dijangka menambah kreativiti di bahagian serangan Sang Kenari untuk musim baru liga yang bermula pada Mei nanti.

Untuk rekod, pemain berketinggian 1.76 meter itu sudah menjaringkan tiga gol dan mencipta empat bantuan gol selepas enam perlawanan saingan Piala AFC 2023 untuk pasukan Pantai Timur itu.

Bagaimanapun, susulan pengumuman berkenaan, meninjau ruangan komen terdapat beberapa penyokong Hijau Kuning tidak bersetuju membawa masuk pemain tersebut dan antara sebab ialah sikap tamak di atas padang.

"Sony ni kalau dapat bola saja terus dribble sampai ke tiang gol tapi tak gol pun, rela tak kongsi dengan rakan sepasukan, good luck je lah," kata Afiq Mustaffa.

"Trend dua tiga musim sebelum ini, import kalau main dekat kelab lain nampak padu, tapi bila main dengan kita macam tak berapa nak meletup, Sony ni tamak sikit," kata Muhammad Zul Azmi Salleh.

"Please jangan tamak lepas ni, risau kalau sikap dia tu terbawa-bawa di Kedah," kata Affisze Ommi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram